Dakwah Anak Kedah Ini Melalui Bahan Bacaan


SEPASANG matanya memerhati penuh minat pembentukan buih halus di celah pokok nipah yang tumbuh merimbun di kawasan paya yang terletak di Kampung Tengah, Mukim Padang Hang, Alor Setar, Kedah itu.

Menggunakan kedua-dua belah tangan, kanak-kanak berumur lingkungan lapan tahun itu menyauk dasar air cetek tersebut. Telahannya tepat apabila seekor ikan laga tergodek-godek cuba meloloskan diri dari telapak tangannya.

Ikan sebesar jari kelingking yang mempunyai warna menarik serta bersirip kembang itu dimasukkannya ke dalam botol kaca sebelum dijual kepada kanak-kanak lain pada harga 20 sen seekor.

Itulah imbauan momen nostalgik Pengarah Urusan Rimbunan Ilmu Sdn. Bhd. Datuk Mohd. Salleh Saidin yang sedikit sebanyak mencerminkan minatnya terhadap dunia perniagaan sejak usia muda.

“Rimbunan Ilmu Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 29 Disember 2004 merupakan sebuah syarikat penerbitan di samping terlibat dalam aktiviti membekalkan pelbagai jenis bahan bacaan ke sekolah-sekolah serta agensi kerajaan di seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dua tahun sebelum itu beliau berkhidmat di bahagian pemasaran sebuah syarikat penerbitan di ibu kota. Tugasnya tidak terhad di pejabat sahaja. Sebaliknya, beliau keluar menjual buku kepada sesiapa sahaja yang ditemui.

“Saya memang berhasrat memiliki perniagaan buku sendiri ketika itu. Berbekalkan pengalaman tersebut saya tekad untuk terjun ke dalam industri ini. Alhamdulillah majikan di tempat kerja lama turut memberi sokongan,” ujarnya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bercerita, sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2001 beliau melakukan pelbagai pekerjaan di kampung halaman termasuk mengusahakan tanah bendang keluarga, menjadi pemandu lori padi selain berniaga di pasar malam.

Malah ketika remaja, beliau pernah merasai jerih perih bekerja sambilan membuat batu-bata menggunakan acuan manual dengan upah sekitar tiga sen sebiji.


Rahsia kejayaan

“Pada usia muda, saya menyimpan impian ingin menjadi orang berjaya tetapi tidak tahu hendak buat apa dan bagaimana untuk berjaya. Ia mungkin berlaku pada kebanyakan kita,” ujarnya.

Selepas mendapat rentak terhadap misi yang ingin dicapai Mohd. Salleh tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menyusun langkah.

Selama 11 tahun bertapak dalam bidang tersebut, beliau mengasaskan anak syarikat Gallery Bookstore Sdn. Bhd. dengan kedai pertama Gallery Bookstore dibuka di Masjid Tanah, Melaka pada 26 Disember 2015.

Ia diikuti pembukaan berperingkat rangkaian kedai di Bangi, Selangor; Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur; Bandar Dato’ Onn, Johor; Kuala Kangsar, Perak; Alor Setar, Kedah; Arau, Perlis serta Bertam, Pulau Pinang. Bahkan, kedai buku beliau menawarkan lebih 40,000 judul buku pelbagai genre.

Lebih istimewa, cawangan terbaharu di Taiping, Perak dirasmikan oleh bapanya Saidin Man, 72, sekali gus menjadi saksi kejayaan Mohd. Salleh mencapai sasaran membuka 10 cawangan Gallery Bookstore dalam tempoh dua tahun.

“Ayah saya merupakan insan yang saya kagumi. Beliau merupakan seorang pesawah yang kuat bekerja, tidak gemar membuang waktu dan masih aktif meneruskan rutinnya.

“Emak dan ayah adalah kekuatan dan semangat saya untuk terus berjaya. Mereka menjadi tempat rujukan saya dalam pelbagai hal. Segala perancangan atau perkara yang ingin dilakukan saya akan beritahu mereka dan ia menjadi amalan saya sehingga ke hari ini.

“Restu dan doa mereka mengiringi langkah perjalanan saya dan menjadikan siapa saya pada hari ini,” tuturnya.

Bahasa Arab

Berkongsi satu lagi fasa penting yang disifatkan amat bermakna buat dirinya, Mohd. Salleh berkata, buat julung-julung kali, pihaknya telah memperkenalkan al-Quran Mushaf Al-Farid akhir tahun lalu menerusi sebuah lagi anak syarikatnya iaitu Rimbunan Islamik Media Sdn. Bhd.

Naskhah al-Quran tersebut disertai terjemahan teks menggunakan tulisan Jawi standard sepenuhnya berdasarkan daftar kata bahasa Melayu seperti digariskan Dewan Bahasa Pustaka. Ia merupakan naskhah pertama seumpamanya yang pernah diterbitkan di negara ini.

Naskhah itu berbeza dengan al-Quran tafsir di pasaran kerana terjemahan lebih memfokuskan kepada makna ayat secara langsung. Turut disertakan tulisan rumi di bawah setiap perkataan untuk memudahkan mereka yang kurang mahir membaca tulisan Jawi.

“Penerbitan al-Quran ini diharap dapat memartabatkan tulisan Jawi kerana ia merupakan warisan peradaban kita.

Ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dengan segala gerak kerja melibatkan kepakaran anak tempatan sepenuhnya.

“Selain itu, terjemahan langsung mengikut perkataan dapat membolehkan pembaca mengetahui dan belajar erti perkataan sebenar dalam bahasa Arab. Ini saya anggap sebagai usaha dakwah untuk kita mendekatkan diri dengan kalamullah itu,” jelasnya.

Alumni Sekolah Menengah Agama Darussaadah, Alor Setar, Kedah itu mengakui berasa begitu akrab dengan penerbitan buku agama kerana subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Arab merupakan mata pelajaran yang paling diminati ketika berada di bangku sekolah.

Antara kenangan manis yang paling tidak dilupakan ialah apabila syarikatnya dapat menerbitkan ribuan naskhah buku mengenai ibadah solat dalam bahasa Campa dan Khmer untuk diedarkan kepada masyarakat Islam di Kemboja beberapa tahun lalu.


Dalam pada itu, Mohd. Salleh berpendapat, biarpun industri buku tempatan dikatakan berdepan suasana suram, beliau optimis bahan bacaan fizikal masih relevan meskipun terdapat persaingan daripada bahan bacaan online yang lebih murah dan mudah diakses.

“Buku masih diperlukan walau betapa hebatnya teknologi. Pastinya, nilai kepuasan diperoleh apabila membaca sebuah buku tidak boleh dibandingkan dengan menghadap bahan bacaan melalui paparan skrin telefon pintar atau komputer riba.

“Buku-buku agama contohnya, kian mendapat tempat di hati masyarakat sementelah semakin ramai golongan bijak pandai berupaya menghasilkan penulisan yang baik serta dekat dengan kehidupan pembaca.

“Saya percaya jika kita ada niat baik pasti semua yang dibuat beroleh keuntungan.

“Paling penting, buku yang ingin diterbitkan harus mampu menarik perhatian khalayak. Penerbit juga perlu sentiasa memikirkan idea baharu terutama strategi pemasaran unik bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka,” ungkapnya.

Bermula dengan syarikat penerbitan Rimbunan Ilmu Sdn. Bhd. pada 29 Disember 2004, Datuk Mohd. Salleh Saidin berjaya membuka 10 cawangan kedai buku menerusi anak syarikatnya, Gallery Bookstore Sdn. Bhd. dalam tempoh dua tahun.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com