Dakwaan Minyak Pelincir Recycle Tidak Pasti Kesahihan


BATU KURAU - Isu penjualan minyak pelincir yang didakwa dikitar semula di pusat servis kenderaan hanya tular di media sosial sahaja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan menyebabkan kementeriannya tidak boleh mengambil sebarang tindakan.

Menurutnya, setiap aduan dari pengguna itu penting, kerana kementerian pasti akan menghantar pengawai penguatkuasa KPDNKK untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut.

"Saya mengesa pengguna menyalurkan maklumat jika berlaku penipuan kitar semula minyak hitam ini," katanya selepas menyempurnakan  program Jom Serbu Jualan Murah di Arena Batu Kurau, di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, pengguna hanya perlu  membuat aduan dengan mudah, kemudian memberitahu lokasi premis, resit belian untuk pihaknya mengambil tindakan.

Sebelum ini, Hamzah mewajibkan lebih 30,000  bengkel kenderaan bermotor termasuk pusat servis, kedai tayar dan aksesori memiliki lesen untuk beroperasi selepas undang-undang penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan dikuatkuasakan.

Tambahnya, Rang Undang-Undang (RUU) itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

"RUU itu digubal  susulan pelbagai aduan diterima kementerian dari pengguna mengenai ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan bengkel kenderaan motor.

"Di bawah undang-undang itu, peniaga harus memiliki lesen dan boleh dikenakan tindakan jika ada unsur-unsur penipuan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com