Cacing Parasit Serang Mata Wanita Di Oregon, Pertama Jangkiti Manusia


NEW YORK - Seorang wanita dari Oregon dipercayai individu pertama di dunia yang dijangkiti spesies cacing kecil pada bahagian mata, yang sebelum ini hanya berlaku pada lembu dan ia disebarkan oleh lalat pemakan pelincir mata.

Saintis Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), berkata 14 cacing parasit lilin spesies Thelazia gulosa, sepanjang 1.27 sentimeter berjaya diekstrak dari mata wanita berusia 26 tahun, dalam tempoh 20 hari sebelum gejala yang dialaminya hilang.

Hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan dan Kesihatan Tropika Amerika itu, mendedahkan cacing spesies Thelazia terbabit sering ditemui pada lembu yang diternak di utara Amerika Syarikat dan selatan Kanada.

Menurut saintis, kajian itu menunjukkan kawasan Amerika Utara lebih mudah terdedah dengan masalah itu berbanding apa yang difahami sebelum ini mengenai jangkitan berkenaan.

Penyelidik juga berpendapat, jika cacing itu kekal lebih lama dalam mata seseorang individu, ia boleh menyebabkan parut pada kornea dan kemungkinan besar mangsa boleh mengalami buta.

"Kes jangkitan parasit cacing pada mata jarang berlaku di Amerika Syarikat dan kes membabitkan spesies Thelazia ini tidak pernah dilaporkan berlaku pada manusia," kata ketua penyelidik, Richard Bradbury.

Bradbury yang juga penyelidik Bahagian Penyakit Parasit dan Malaria, CDC, berkata sebelum ini, dua spesies cacing dikenal pasti menjangkiti manusia dan Thelazia gulosa adalah spesies ketiga.

Penyelidik berkata, wanita berasal dari Gold Beach, Oregon itu mengesan cacing lut cahaya di dalam mata kirinya selepas mengalami masalah kerengsaan. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com