Budaya Guna Telefon Ketika Memandu Perlu Dibuang


ALOR SETAR – Amalan merbahaya seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu menjadi penyumbang utama kemalangan jalan raya di negara ini.

Budaya tidak sihat itu wajar dibuang dalam diri setiap pengguna jalan raya demi menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, sehingga kini tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap tabiat menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta atau menunggang motosikal adalah sangat membimbangkan.

“Saya bimbang lihat pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit terutamanya penunggang motosikal. Ini adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana ia boleh mengganggu dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Kalau penting sangat, mereka boleh berhenti di kawasan yang selamat untuk menjawab panggilan atau membalas teks,” katanya.

Beliau berkata selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah 2018.

Ujar Tajul Urus, sikap kurang sabar pengguna ketika di jalan raya juga mempengaruhi jumlah kemalangan dan kematian yang berlaku.

“Pengguna perlu ada sikap sabar supaya mereka boleh mematuhi undang-undang jalan raya, jika tiada sikap sabar itu yang menyebabkan mereka langgar lampu merah dan memotong sesuka hati. Kalau sabar, semua boleh sampai ke destinasi yang dituju dengan selamatnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya negeri, Chan Pei Hong mendedahkan semasa di jalan raya  fokus akan menurun kepada 50 peratus daripada 100 peratus apabila pengguna menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Apabila tahap fokus tinggal 50 peratus, tumpuan pengguna jalan raya terhadap risiko kemalangan juga berkurangan. Itu boleh menyebabkan berlakunya kemalangan sehingga meragut banyak nyawa,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com