Budak Argentina Dilarikan Bapa Ditemui Di Indonesia


KUALA LUMPUR – Anak perempuan seorang warga Argentina, Elizabeth Avalos, 27, yang dilaporkan hilang sejak tujuh bulan lalu akhirnya ditemui di Indonesia, kelmarin.

Kanak-kanak tersebut, Alum Langone Avalos, 7, berjaya dikesan hasil maklumat yang diberikan oleh orang ramai selepas hebahan berhubung berita kehilangannya disiarkan oleh media sejak dua minggu lalu.

Duta Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas dalam satu kenyataan di sini semalam turut mengesahkan mengenai penahanan bekas teman lelaki Elizabeth, Jorge Gabriel Langone yang berusia 41 tahun.

Dia dipercayai bertanggungjawab melarikan kanak-kanak berkenaan termasuk pernah dibawa masuk ke Malaysia sebagai pelancong asing sebelum kemudian berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia, organisasi media tempatan serta orang ramai yang banyak membantu kami dalam menyelesaikan kes kehilangan ini,” jelas Manuel lagi.

Elizabeth kini dilaporkan sedang berada di Indonesia dan urusan penghantaran pulang beliau bersama dengan anaknya ke Buenos Aires akan diselesaikan secepat mungkin. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com