Budak 3 Tahun Mati Lemas Di Tamn Tema Air Sungai Petani


ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui sudah tidak bernyawa dipercayai akibat lemas ketika mandi bersama keluarga di sebuah taman tema air di Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, Hafidh Dhabit Hasrul Nizam yang berasal dari Kodiang datang bersama keluarga untuk sambutan Hari Keluarga di tempat bapanya bekerja.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata, mangsa yang ketika itu bersama tiga adik beradiknya kemudian mandi di kolam sebelum bapa mangsa meninggalkan mereka seketika untuk membeli makanan.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa sedang mandi di kolam sedalam 1.2 meter bersama kakaknya sebelum tiba-tiba tenggelam.

Mangsa yang dikatakan hilang dari penglihatan itu ditemui di dasar kolam sebelum dibawa naik dan diberi bantuan pernafasan kecemasan oleh pengawal kolam.

Saifi, dalam kenyataan, berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani namun disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital tersebut.

Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan lemas dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com