Budak 18 Bulan Lemas Dalam Baldi


TUMPAT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan mati lemas selepas tersembam di dalam baldi berisi air ketika bermain di halaman rumahnya di Kampung Talak.

Kejadian Isnin lalu kira-kira jam 10 pagi, mangsa Nurul Hidayah Mohd Rozaimi dikejarkan ke Hospital Tumpat apabila tidak sedarkan diri dengan muka kebiruan.

Ibunya, Malini Mazlan, 29, berkata, tiga hari anaknya koma namun ALLAH lebih menyayanginya apabila dia menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.30 petang kelmarin.

"Anak kedua saya dirujuk ke Unit Rawatan Insentif kanak-kanak (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana keadaannya sangat kritikal.

"Dua malam dia ditahan di wad itu, akhirnya dia pergi tinggalkan saya," katanya mempunyai dua anak dan kini sedang sarat mengandung 9 bulan.

Mencerita kejadian itu, Malini berkata, dia sedang menyuapkan bihun goreng kepada anaknya yang makan sambil bermain di halaman rumah.

Katanya, lima minit selepas itu anaknya hilang dari pandangan matanya, walaupun dipanggil namanya sebanyak tiga kali tetapi tiada bersahut.

"Saya ketika itu duduk ditangga, anak saya pula bermain dengan jaraknya hampir satu meter dari tangga rumah.

"Tetapi disebabkan terlindung tiang rumah saya tidak nampak dia sedang bermain air di dalam baldi tersebut," katanya.

Menurutnya, kehilangan lima minit anaknya itu menyebabkan dia mula rasa tidak sedap hati lalu turun tangga mencarinya.

Katanya, dia hampir pitam apabila menjumpai anaknya dengan keadaan separuh tubuhnya di dalam baldi itu.

"Dalam keadaan panik itu saya mengangkat anak saya lalu memanggil keluarga yang berada di atas rumah," katanya.

Menurutnya, air di dalam baldi itu hanya ada  separuh sahaja lebihan air siraman pokok bunga yang ditadah ibunya, Noriah Mohamad, 52.

Jenazah allahyarham Nurul Hidayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Talak malam tadi kira- kira jam 10.30 malam.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com