Bom Seberat 454 Kilogram Peninggalan Perang Dunia Kedua Dimusnahkan


PARIT – Sebutir bom seberat 454 kilogram yang dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua, yang ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di sini petang semalam berjaya dimusnahkan menerusi tiga siri letupan, semalam.

Bom yang masih aktif dengan berukuran 1.2 meter panjang dan satu meter ukur lilit itu, diletupkan dengan bantuan 40 pegawai dan anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman.

Kerja-kerja persediaan bagi mengurangkan impak letupan dimulakan kira-kira jam 11 pagi dan berakhir pada 3 petang tadi sebelum proses meletupkan bom itu bermula.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata letupan pertama dilakukan pada jam 3.35 petang, disusuli letupan kedua pada jam 4.22 petang sebelum keseluruhan bom itu dimusnahkan dengan letupan kali ketiga yang lebih kuat pada jam 5.15 petang.

Beliau berkata pihaknya terpaksa membina benteng pasir setinggi dua meter menggunakan jentolak mengelilingi bom tersebut termasuk meletakkan 120 guni pasir seberat 10 kilogram bagi mengurangkan impak letupan.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemusnahan berlaku akibat letupan berkenaan biarpun gegaran dan letupan dapat didengari sejauh lima kilometer,” katanya kepada pemberita di lokasi itu.

Mohamad Zainal berkata pihaknya telah mengarahkan pekerja-pekerja di kawasan ladang kelapa sawit tersebut untuk tidak berada berhampiran dengan kawasan pemusnahan bom tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Kawasan bom ini bagaimanapun terletak di kawasan pedalaman dan penempatan terdekat berada lebih kurang tiga kilometer dari kawasan kejadian, cuma terdapat beberapa rumah kongsi sahaja yang menempatkan pekerja di kawasan itu,” katanya.

Bom tersebut ditemukan oleh seorang lelaki Orang Asli berumur lingkungan 40-an yang juga pekerja di ladang tersebut, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, ketika sedang melakukan aktiviti mencangkul. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com