Beri Peluang Pada Marcote - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) percaya dengan keupayaan pengendali Kedah, Ramon Marcote untuk meningkatkan mutu permainan pemain selepas ini walaupun mereka tewas pada aksi Piala Sumbangsih pada Sabtu.

Walaupun kekalahan 2-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan yang juga pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin,tidak mematahkan semangat pemain untuk memburu kemenangan pada perlawanan seterusnya.

Menurut Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya akan memberi peluang kepada Marcote untuk mempertingkatkan mutu permainan pemain Kedah tambahan beliau baru mengendalikan pasukan itu.

"Beri dia masa untuk menyesuaikan keadaan tambahan pemain import pun baru nak sesuaikan diri...jadi kita tengoklah dalam dua tiga perlawanan lagi.

"Kita tak boleh tengok persembahan pada perlawanan persahabatan sebelum ini dan perlawanan pertama semalam(Sabtu) untuk menentukan prestasinya tambahan KFA tidak mahu menggangu tumpuan mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pasar raya D' Aman Mart dan Pelancaran Program Kos Sara Hidup, di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kekalahan pasukan Kedah kepada JDT pada perlawanan pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, pada Sabtu.

Tambah Menteri Besar Kedah itu, selepas perlawanan pertama tersebut, Marcote boleh memperbaiki kelemahan pemain sama ada di bahagian pertahanan atau serangan.

"Kita bagi peluang kerana beliau sendiri sudah lihat aksi pemainnya dan itu semua beliau akan ambil kira untuk perlawanan seterusnya.

"Apa-apapun saya ucapkan tahniah kepada Kedah kerana walaupun tewas tetapi semangat yang ditunjukkan pemain dipuji tambahan kita kena faham berdepan dengan JDT pasukan yang kuat dalam Malaysia," katanya memetik BH Online. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com