BDB Rancang Bina Taman Tema Air Fasa Kedua Di Jitra


ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) bakal membangunkan fasa kedua Taman Tema Air Fantasia di Tasik Darul Aman, di sini bagi menarik lebih ramai golongan dewasa ke lokasi itu.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff, berkata pembinaan fasa kedua itu akan dilakukan dalam masa terdekat dan dijangka akan dibuka kepada pengunjung pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Bagaimanapun kos pembinaan fasa kedua ini belum diputuskan, tujuan pembinaannya untuk menarik lebih ramai pengunjung dewasa supaya ibu bapa yang membawa anak-anak ke sini dan boleh menikmati pengalaman menyeronokkan.

"Kami menjanjikan taman tema air fasa kedua ini akan lebih menyeronokkan apabila mempunyai gelongsor yang lebih ekstrem dan mencabar untuk golongan dewasa ," katanya memetik BH Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Taman Tema Air Fantasia di Tasik Darul Aman di sini, malam Selasa.

Dalam ucapannya, Izham yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung dengan pembinaan fasa kedua itu berikutan taman tema air yang dibuka pada November lalu mencatatkan 100,000 pengunjung dalam tempoh tiga bulan.

Jelasnya, kewujudan taman teman air dengan kos RM17 juta itu sangat bertepatan dengan kehendak penduduk Kedah yang sinonim dengan cuaca panas.

"Orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke taman tema air ini kerana kami akan memastikan tahap kualiti air dalam keadaan baik dengan pengawasan dan pemeriksaan setiap tiga jam.

"Malah BDB turut bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memastikan pemeriksaan air dijalankan secara telus," ujarnya.

Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com