Bayi Dari Sungai Petani Hadapi Masalah Jantung Perlukan RM80,000


ALOR SETAR - Seorang bayi lelaki berusia 19 hari yang kini berhadapan masalah pernafasan memerlukan dana berjumlah RM80,000 bagi membolehkannya menjalani pembedahan jantung yang perlu disegerakan dalam tempoh sebulan.

Menurut bapa bayi itu, Rosli Yahya, 48, yang hanya bekerja kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan tidak mampu menyediakan kos sebanyak itu memandangkan dia masih menyara isteri dan empat anak lagi berusia antara 14 hingga 20 tahun.

Tambahnya, dia hanya mengetahui keadaan anaknya, Hafiz Amsyar mempunyai masalah jantung sejam selepas dilahirkan apabila tubuhnya mula bertukar kebiru-biruan.

“Doktor kata paip jantung dia terkalih, kiri pi kanan, kanan pi kiri.

“Hari kedua, depa bawa dia pi Hospital Pulau Pinang, tebuk (pembedahan) untuk pernafasan sementara,” katanya memetik Sinar Online.

Katanya, sejak dilahirkan pada 16 Januari lalu, tiada sesiapa dapat melawat bayi lelaki itu kecuali kedua ibu bapa kerana diberi penjagaan eksklusif di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani akibat keadaannya yang kritikal.

“Doktor kata, dia hanya diberi masa sebulan, sebab sekarang jantung dia dah bengkak, dia cepat penat (sukar bernafas) dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya.

“Kami tak sanggup tengok dia macam tu, kalau boleh nak cepat buat pembedahan tapi tak ada duit banyak tu. Banyak tempat saya rujuk dah, sampai sekarang belum ada apa-apa,” ujarnya.

Jelas beliau, pembedahan hanya boleh dilakukan di beberapa pusat perubatan sahaja di Malaysia termasuk Institut Jantung Negara (IJN), namun disebabkan tempoh menunggu giliran yang panjang di IJN, Rosli terpaksa memikirkan cara bagi menjalani pembedahan di pusat perubatan swasta.

Sementara itu, isterinya, Nor Fazilah Abdullah, 40, berkata, seluruh keluarga menantikan dengan penuh debar kelahiran anak kelima itu seberat 3.65 kilogram yang dilahirkan secara normal selepas 14 tahun perbezaan jarak kelahiran dengan anak sebelumnya.

“Dalam gembira sambut dia, kami sedih lepas dapat tau dia ada masalah, sampai sekarang kami berulang-alik ke hospital jenguk dia.

“Kalau boleh saya merayu orang ramai sama-sama tolong kami selamatkan anak kami, kami harap dia boleh bedah dengan segera,” rayunya.

Bagi orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0211 6290 0014 7027 atas nama Rosli Yahya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com