Bayi 11 Bulan Melecur Muka Dalam Kebakaran


TIGA beranak termasuk seorang bayi melecur selepas rumah mereka di Kampung Lino Lanas, Keningau, terbakar malam tadi.

Dalam kejadian 8.10 malam itu, Yesmin Jubilik, 26, melecur di bahagian kaki, isterinya Petronella Jems, 38, melecur di bahagian tangan serta kaki manakala bayi perempuan mereka berusia 11 bulan melecur pada bahagian muka.

Difahamkan, selain tiga mangsa yang melecur, tiga lagi ahli keluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berada di rumah itu, namun sempat menyelamatkan diri.

Jiran mangsa, Jutin Antaim, 46, berkata, dia terlihat api mulai marak dari rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa sebelum menghubungi bomba.

"Saya cuba membantu untuk memadamkan api tetapi sukar mendapatkan sumber air dan api merebak dengan pantas," katanya.

Jutin berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Tulid oleh penduduk kampung sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

"Selain itu, dokumen dan barang mereka juga gagal diselamatkan berikutan api terlalu marak," katanya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu melalui talian kecemasan 999 pada 8.27 malam.

"Sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi yang terletak 80 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Keningau.

"Sebaik tiba, kebakaran didapati memusnahkan sebuah rumah dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 10.44 malam," katanya.

Khatizah berkata, pihaknya turut menerima laporan tiga mangsa cedera dalam kejadian itu dan mereka sudah dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com