Bapa Panik Anak Tak Pulang Ke Rumah


BATU CAVES - Seorang bapa panik selepas anaknya hilang dan dikatakan mengikut seorang lelaki tidak dikenali yang berambut panjang, semalam.

Seorang tentera, Mohd Fakri Hussin, 38 berkata, anaknya, Mohd Fyazwi Harith,6 tidak pulang ke rumahnya di Pangsapuri Samudera di sini selepas habis sekolah.

Menurutnya, jiran memaklumkan melihat anaknya yang sedang menangis dibawa seorang lelaki menaiki motosikal.

"Anak hilang kira-kira jam 1 tengah hari dan membuat laporan polis satu jam kemudian selepas bimbang akan keselamatannya.

"Jam 3 petang anak saya dipulangkan seorang lelaki. Rupanya lelaki tersebut membawanya pulang ke rumah di Pinggiran Batu Caves selepas usaha mencari saya gagal," katanya.

Menceritakan kejadian, sepatutnya dia berada di rumah ketika kejadian namun pulang agak lewat dari tempat kerja.

"Anak dah pergi rumah pengasuh tapi tiada yang menyahut, dan pulang ke rumah juga kosong tiada orang jadi dia takut dan menangis sebelum dibantu kontraktor pengurusan sampah yang ada di lokasi.

"Dia bawa anak saya pulang ke rumahnya untuk dijaga isterinya sementara dia Solat Jumaat. Selepas selesai dihantarnya anak saya pulang.

"Terima kasih kerana membantu anak saya, terima kasih juga kepada orang awam yang prihatin menularkan kehilangan anak saya," katanya.

Kehilangan Mohd Fyazwi Harith semalam tular di Facebook dan Whatsapps selepas tidak pulang ke rumah sebaik tamat sesi persekolahan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com