Bapa Nur Aina Nabihah Didakwa


PORT DICKSON - Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini atas pertuduhan membunuh anak perempuannya Nur Aina Nabihah, 9, pada 31 Januari lalu.

Tertuduh Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah yang disewanya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, antara 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna oren didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 34 tahun yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah bagi dijadikan saksi pendakwaan kes berkenaan.

Nur Aina Nabihah disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam 1 Februari lalu dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri di kediaman mereka oleh ayahnya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Bedah siasat ke atas kanak-kanak itu mendapati dia mengalami kecederaan parah, hati koyak, putus pankreas, patah tulang rusuk kiri dan kanan serta terdapat kontusi atau lebam dalaman pada usus besarnya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com