Banyak Aduan Terhadap PPBM, Mahathir Dinasihat Tidak Ganggu RoS


Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir, namun pandaftaran  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP  masih tergantung kerana terlalu banyak aduan diterima daripada ahli parti itu sendiri.

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) memaklumkan masih lagi meneliti dan melakukan siasatan terhadap status pendaftaran kedua parti tersebut.

Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, kelulusan terhadap dua parti itu tergantung susulan terdapat banyak aduan yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Masih belum selesai siasatan PPBM dan DAP, aduan banyak. Memang ambil masa. Kita akan ambil keterangan daripada semua pihak berkenaan,” jelasnya yang dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik RoS yang didakwa sengaja melambatkan proses pendaftaran PPBM.

Dakwaan Dr Mahathir kononnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sengaja melenggahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) merupakan satu tuduhan jahat terhadap agensi itu.

Pengerusi Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kelewatan dua parti PH mengadakan mesyuarat agung tahunan dipercayai antara sebab mengapa PH masih belum didaftarkan.

“Harus diingat selepas diberikan amaran, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang didaftarkan pada 8 September 2016 baru mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya pada 30 Disember 2017.

“Begitu juga pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP. Mungkin alasan seumpama ini juga menjadi salah satu faktor kenapa sehingga kini PH masih belum didaftarkan,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Dalam hal ini  Dr.Mahathir dinasihatkan bersabar dan tidak mengganggu atau memberi sebarang tekanan kepada agensi itu dalam membuat proses pendaftaran PH mengikut undang-undang.

“RoS mempunyai hak untuk memproses kesemua pendaftaran parti tanpa ada apa-apa tekanan tidak seperti di zaman Tun Mahathir masih lagi menjadi Menteri Dalam Negeri,” kata Zulkarnain.

Beliau juga mencabar Dr. Mahathir mendedahkan jumlah parti baharu yang didaftarkan RoS yang turut diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri semasa era zaman pemerintahannya.

“Penjelasan ini amat penting untuk mendedahkan sikap sebenar Tun Mahathir yang sentiasa cuba mengekang demokrasi mengikut acuan beliau semasa menjadi Perdana Menteri yang lalu.

“Ketika itu, untuk mendaftarkan parti baharu yang menentang UMNO bukanlah satu perkara mudah,” katanya.

Katanya lagi, keadaan itu jauh berbeza selepas pemerintahan negara diambil oleh Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya tidak mengekang mana-mana pihak untuk mendaftarkan pertubuhan atau parti politik pro-pembangkang.

Demokrasi jelas sentiasa hidup subur pada zaman Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. - Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com