Bantuan Tahun Baru Cina Diberi Setiap Tahun, Bukan 'Dedak' PRU14 - MB Kedah


ALOR SETAR - Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta masyarakat Cina tidak menggangap pemberian bantuan sempena Tahun Baharu Cina sebagai 'dedak' kerana bantuan seperti  itu diberikan setiap musim perayaan.

Katanya, ia berbeza dengan bantuan yang diberikan oleh parti pembangkang yang hanya dilakukan lima tahun sekali, iaitu menjelang pilihan raya bagi mendapatkan undi rakyat .

"Kita, kerajaan BN salurkan bantuan tidak mengira musim, jika ada bencana, kita akan sampaikan, " katanya selepas menyerahkan bantuan keperluan dapur, buah limau dan angpau kepada 850 masyarakat Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu, dekati sini semalam.

Menurut Ahmad Bashah, bantuan yang disalurkan itu adalah atas permintaaan persatuan-persatuan  penduduk sendiri yang mengenalpasti golongan kurang upaya, miskin dan anak yatim di kawasan masing-masing.

 "Ini adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah, namun bantuan yang diberikan itu telah ditiru oleh parti pembangkang. Ini bermakna apa yang dibuat oleh kerajaan BN itu (beri bantuan) adalah betul, "ujar Ahmad Bashah.
,
Beliau memberi contoh sebanyak 3,000 keluarga di  tiga Dewan Undangan Negeri, iaitu  Alor Mengkudu, Kota Darulaman dan Bakar Bakar dalam Parlimen Alor Setar menerim bantuan Tahun Baru Cina itu .

Selain bantuan peralatan dapur, mereka juga akan diberikan sekotak limau dan RM50 sebagai angpau.

Menurut  Ahmad Bashah sebanyak 50,000 kotak bantuan Barakah diagihkan di seluruh negeri.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN Kedah meminta masyakarat Cina  tidak memilih parti pembangkang pada PRU14 kerana yang rugi adalah mereka sendiri.

Beliau yakin masyarakat Cina kini telah sedar bahawa hanya kerajaan BN mampu membantu mereka sepanjang  masa dan bukan seperti parti pembangkang yang  muncul lima tahun sekali  untuk meminta undi. -  Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com