Banteras Kemasukan Mercun, Bunga Api: MB Kedah


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, meminta pihak berkuasa membanteras kemasukan bahan letupan termasuk bunga api ke negeri ini kerana ia berupaya mengundang bahaya kepada orang ramai.

Beliau turut menasihati rakyat supaya mengelakkan diri daripada bermain dengan bahan letupan kerana ia berisiko tinggi dalam mendatangkan kecederaan.

Katanya, beliau tidak mahu insiden letupan bunga api ketika perarakan Thaipusam di Sungai Petani yang berlaku malam tadi sehingga mencederakan lebih 30 pengunjung, berulang.

"Kita minta polis mengambil tindakan termasuk menyiasat dari mana (bunga api)masuk supaya tidak berlaku lagi insiden seperti ini.

"Saya nasihatkan tak perlulah bermain dengan bahan letupan ini kerana ia ternyata tidak selamat malah sebelum ini juga ramai yang putus jarilah akibat bermain bunga api atau mercun," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) di Taman Wira, Mergong, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian letupan bunga api ketika sekumpulan penganut agama Hindu hadir menyambut perarakan sempena Thaipusam dari Kuil Sri Subramaniam Swami Temple ke Jalan Pasar.

Letupan berlaku sejurus bunga api berkenaan dinyalakan, menyebabkan kecederaan pengunjung dan seorang anggota polis.

Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata, pihaknya sedang menunggu laporan siasatan polis berhubung kejadian itu.

Katanya, sesudah mendapat laporan lengkap pihaknya akan mempertimbangkan untuk membantu mangsa yang terlibat dalam letupan itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com