Bangunan KWSP Terbakar, Simpanan Ahli Tidak Terjejas


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas akibat kebakaran yang berlaku di bangunan cawangannya di Petaling Jaya, dekat sini.


Agensi itu dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan sentiasa memantau situasi kebakaran itu serta memaklumkan sebarang perkembangan setelah operasi cawangan dibuka semula.


Jelasnya, pasukan Pengurusan Krisis Cawangannya sedang bekerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain atau kawasan sekitar.

“Memandangkan keselamatan pelanggan dan kakitangan adalah keutamaan kami, operasi pemindahan telah dilakukan dan pejabat dan perkhidmatan kaunter ditutup.

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas,” jelas KWSP.

Sementara itu Bernama melaporkan sebahagian daripada bangunan enam tingkat KWSP di Jalan Gasing dijilat api tengah hari ini.

Usaha gigih anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran itu menarik perhatian orang ramai.

Api dan asap tebal yang menjulang kelihatan dari sebahagian bangunan itu yang terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya terbabit.

Sementara itu, menurut Ketua Komunikasi Korporat KWSP Nurin Mastura Din Merican, maklumat daripada pihak bomba mengatakan kebakaran itu kini telah dapat dikawal.

Beliau yang dihubungi Bernama berkata semua kakitangan telah keluar dengan selamat dari bangunan berkenaan dan setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

"KWSP akan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ini nanti," katanya.

Menurut Mohd Hafiz Mat Dali, Komander Operasi Bomba di tempat kejadian, hampir 40 peratus bangunan enam tingkat itu terbakar.

Punca kebakaran masih belum diketahui setakat ini.

Dalam pada itu, menurut laporan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.53 pagi ini dan sampai di lokasi pada pukul 11.58 pagi.

Susulan kebakaran itu, masing-masing dua jentera dari Balai Bomba Seksyen 7 Petaling Jaya, Balai Bomba Penyelamat Damansara, Balai Bomba Penyelamat Pelabuhan Klang, Balai Bomba Penyelamat Hang Tuah dan Balai Bomba Penyelamat Pantai dikerah ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Operasi itu melibatkan 43 anggota termasuk tiga pegawai.

Bernama.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com