Bakal Pengantin Dipenjara Curi Barangan Syarikat


PETALING JAYA – Seorang bakal pengantin dihukum penjara lima hari dan denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mencuri beberapa barangan milik majikannya, sebuah syarikat bidaan dalam talian tiga hari lalu.

Majistret Nurshahirah Abd Salim menjatuhi hukuman itu terhadap Ahmad Tajudin Jamil, 24, selepas dia mengaku bersalah mencuri harta antaranya lampu suluh dan telefon bimbit milik Chilindo.com pada 12.05 pagi, 3 Feb lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai pembantu gudang di syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Chilindo.com, Lot 10, Jalan Teknologi, Kota Damansara, di sini mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sebelum menjatuhi hukuman itu, Nurshahirah menasihati tertuduh yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac depan supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Awak menyesal dengan perbuatan awak ini? Takkan awak nak mulakan keluarga dengan cara begini?,” kata Majistret itu.

Tertuduh menjawab, “Saya faham Puan, saya menyesal dan saya janji tidak akan buat lagi,” katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara sebulan lagi, jika gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, lelaki yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan atas alasan dia anak lelaki tunggal selain penanggung utama keluarga.

Mengikut fakta kes, pengadu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat itu telah melakukan pemeriksaan terhadap motosikal pekerja dan telah menjumpai beberapa barangan di dalam kotak di belakang motosikal milik tertuduh sebelum membuat laporan kepada majikannya.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membawa keluar kesemua barangan itu dari premis Chilindo.com tanpa kebenaran. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com