Azmeer Tak Menyesal Tinggalkan Kedah


KUALA LUMPUR - Kata orang, sayang isteri tinggal-tinggalkan namun sebaliknya dilakukan oleh pemain pertahanan Kuala Lumpur, Azmeer Yusof yang terpaksa mengorbankan kariernya bersama Kedah pada awal musim 2017 kerana mahu sentiasa berada di sisi isterinya, Norsyafiqa Nazri.

Walaupun pada awalnya berat hati terpaksa meninggalkan pasukan sehebat Kedah, namun Azmeer menganggap kini pengorbanannya amat berbaloi apabila Kuala Lumpur dinobat juara Liga Perdana musim lalu dan akan beraksi dalam Liga Super musim ini.

Azmeer berkata, dia kini bukan saja gembira kerana tidak lagi berjauhan dengan Syafiqa dan anak mereka, Nur Melissa Sofea, 2, malah dapat menikmati kariernya seiring dengan kebangkitan Kuala Lumpur.

"Bukan mudah membuat keputusan meninggalkan Kedah, apatah lagi saya baru saja menikmati kejuaraan Piala Malaysia bersama mereka pada 2016. Saya yakin, jika saya kekal bersama pasukan itu, banyak lagi kejayaan akan saya kecapi.

"Tapi pada masa sama, saya tidak dapat menahan rindu hidup berjauhan dengan isteri dan anak yang menetap di Kuala Lumpur. Saya bimbang jika saya terus berjauhan dengan mereka, ia akan menjejaskan prestasi saya.

"Ketika itu saya benar-benar dalam dilema kerana perlu membuat pilihan. Saya amat sayangkan Kedah namun pada masa sama lebih sayangkan isteri dan anak.

"Apabila Kedah menjuarai Piala FA musim lalu, terdetik juga sedikit rasa terkilan meninggalkan pasukan itu. Tapi ia dapat diubati bila Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana," ujar Azmeer.

Kini pemain berusia 28 tahun itu bertekad memacu Kuala Lumpur ke satu tahap yang lebih cemerlang malah yakin pasukan bimbingan Fabio Maciel itu mampu pergi jauh berdasarkan persiapan serta pemain yang dimiliki skuad itu musim ini.

"Skuad tahun ini lebih mantap berbanding musim lalu dengan kehadiran ramai pemain berpengalaman seperti Zaquan (Adha Radzak), Indra (Putra Mahayuddin) dan Poyeng (Saiful Nizam Miswan).

"Pemain muda seperti Irfan (Zakaria) dan Syazwan Andik (Ishak) yang mewakili skuad Bawah 23 Tahun negara juga semakin matang. Ia dikuatkan lagi dengan pemain import.

"Kami mampu memberi saingan walaupun kali pertama beraksi dalam Liga Super. Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk menamatkan liga di tangga kelima," kata Azmeer.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com