Awas! Ubat Anda Mungkin Bahaya Diambil Semasa Naik Pesawat


LEBIH 100 juta orang menaiki penerbangan pada setiap hari di seluruh dunia.

Pastinya ia bukan sesuatu yang berbahaya. Namun, persekitaran unik dalam pesawat juga berisiko kepada penumpang jika mereka ada mengambil ubat-ubatan tertentu.

Ini termasuklah ubat berasaskan hormon seperti pil pencegah kehamilan, pil kesuburan dan juga ubat yang digunakan untuk mencegah serangan jantung dan strok serta ubat anti alahan.

Walaupun menaiki pesawat merupakan satu bentuk perjalanan yang paling selamat, ia masih mempunyai risiko tidak kira berapa lama waktu penerbangan sesebuah pesawat itu.

Penumpang pesawat biasanya ditekan dalam keadaan atmosfera sama pada ketinggian 10,000 kaki dari aras laut.

Pada aras itu, tahap oksigen yang efektif hanyalah 14.3 peratus, yang mana jauh lebih rendah berbanding tahap biasa di atas tanah sebanyak 20.9 peratus.

Risiko lain ialah kurangnya pengaliran darah kerana keterbatasan pergerakan dan kedudukan tubuh yang berada dalam keadaan kejang.

Dehidrasi juga merupakan kesan sampingan biasa kerana kurangnya kelembapan udara dalam pesawat.


Apabila semua keadaan ini bergabung, ia meningkatkan risiko pembentukan darah beku dalam pembuluh darah yang juga dikenali sebagai deep vein thrombosis (DVT).

Sesetengah jenama pil pencegah kehamilan dalam bentuk tablet atau implan diketahui membawa risiko peningkatan pembekuan darah kepada penumpang wanita. Namun, risikonya kecil sahaja.

Begitu juga dengan penumpang yang menjalani rawatan terapi penggantian hormon seperti estrogen dan ubat kesuburan seperti gonadotrophins, mereka juga berisiko mengalami pembekuan darah.

Jika anda ada mengambil ubat-ubatan sedemikian, ia tidak bermaksud anda tidak boleh menaiki pesawat atau patut menghentikan pengambilannya.

Ini kerana, terdapat jutaan wanita yang menaiki penerbangan sewaktu mengambil ubat-ubatan yang dinyatakan dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

Namun, risikonya boleh meningkat jika anda mempunyai penyakit seperti diabetis jenis II atau pernah terkena serangan jantung dan angin ahmar sebelum ini.

Jadi, mereka yang mengambil ubat untuk menghalang serangan jantung dan angin ahmar seharusnya merujuk doktor atau ahli farmasi sebelum menaiki pesawat.

Jika anda berisiko untuk terkena pembentukan darah beku, ubat anti-platelet mungkin sesuai untuk menghalang risiko itu.

Ubat ini berfungsi untuk menghalang sel darah dari melekat antara satu sama lain.

Dalam pada itu, terdapat juga penumpang yang menghadapi masalah untuk tidur khususnya melibatkan penerbangan yang jauh dan panjang.

Jadi, mereka mungkin akan mengambil ubat penenang  antihistamines seperti promethazine untuk membantu mereka tidur. Namun, ia sebenarnya satu pilihan yang tidak baik.

Persatuan Perubatan Austalia tidak menggalakkan ibu bapa memberi ubat berkenaan kerana ia kadang kala mempunyai kesan berlawanan yang membuat kanak-kanak tidak mahu tidur dan menjadi lebih aktif.

Antihistamines jenis ini juga boleh memberi tekanan kepada pernafasan. Ditambah pula dengan persekitaran oksigen dalam pesawat yang rendah, ia pastinya sangat berbahaya.

Jika anda atau mana-mana ahli keluarga memerlukan pil penenang sewaktu menaiki pesawat, sebolehnya elakkan penggunaan antihistamine.

Sebaiknya, rujuk doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan ubat-ubatan yang lebih sesuai.

Antaranya ialah tablet tidur mengikut preskripsi seperti melatonim, ataupun penawar semula jadi seperti herba valerian.

Artikel ini ditulis oleh Nial Wheate, Professor Madya dan Pengarah Program Graduan Farmasi di University of Sydney dan diterbitkan dengan kebenaran oleh The Conversation.

Sumber: The Sun UK



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com