Api Misteri Tetap Berlaku Di Bukit Beruntung, Bakar Barang Rumah


BUKIT BERUNTUNG: Masuk hari ke-10, namun misteri api yang membakar barangan di Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung di sini masih tidak dapat dirungkai mahupun dihentikan.

Hari ini saja, sepanjang tempoh kurang 12 jam, lima kebakaran berlaku dan peliknya baldi berisi air yang diletakkan di ruang tamu tingkat atas turut cair tanpa sedikit pun limpahan di lantai.

Menurut Pengarah Rumah Teduhan Kasih, Jaafar Daud, api menyambar sehelai kain yang diletakkan di tembok pagar, diikuti dengan sehelai tuala di bahagian dapur kira-kira jam 8 pagi, dan kejadian terakhir pada jam 5 petang tadi yang dianggap sangat mustahil berlaku.


"Baldi berisi air sengaja diletakkan di beberapa kawasan bagi tujuan persediaan jika berlaku kebakaran tapi satu daripada 18 baldi itu turut terbakar.


"Biasanya air diisi separuh daripada baldi itu dan anehnya air itu hampir kering selepas baldi hangus terbakar dan hanya tinggal bahagian bawahnya saja," katanya.

Jaafar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Pengasih Negeri Selangor berkata, tengah hari tadi, beberapa kain di ampaian di belakang rumah diikuti sehelai kain sarong terbakar di almari besi pakaian di tingkat atas rumah.

Namun, katanya, kejadian itu agak menghairankan kerana kain sarong itu pada asalnya diletakkan di tepi katil sebelum salah seorang penghuni ke bilik air untuk mandi.


"Tidak pasti bagaimana kain sarong tersebut boleh berada di almari besi pakaian dan terbakar sebab tiada siapa yang mengalihkan kain itu," katanya.

Difahamkan, sehingga kini, sudah lebih 10 pengamal perubatan Islam tampil menawarkan bantuan untuk menyelesaikan masalah itu namun kejadian 'api misteri' masih menyelubungi penghuni pusat pemulihan dadah itu.

Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung dibuka di dua unit rumah di Jalan Kelab Golf di sini sejak November 2015 dan menempatkan seramai 37 penghuni lelaki.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com