Anjing Pengesan Dadah Pun ‘Lalok’ Syabu


JUMLAH dadah syabu yang terlalu banyak di atas kapal yang ditahan pihak berkuasa Indonesia dekat Batam, kelmarin, menyebabkan anjing pengesan turut ‘lalok’ memaksa gerakan mencari dihentikan beberapa kali.

Media Indonesia melaporkan, menurut pembantu khas kepada Ketua Turus Tentera Laut Indonesia Laksamana Madya Achmad Taufiqoerrochman, dua anjing pengesan yang digunakan ketika menggeledah kapal menggunakan bendera Singapura itu menjadi khayal kerana menghidu terlalu banyak syabu, dianggarkan lebih satu tan.

“Kami terpaksa merehatkan anjing terbabit beberapa kali sebelum meneruskan penggeledahan,” katanya.

Menurut AFP, tentera laut Indonesia juga menahan empat orang di atas kapal MV Sunrise Glory ketika ia memasuki perairan Indonesia dipercayai dalam perjalanan ke Australia di Terusan Phillip antara Singapura dengan Batam.

Menurut Achmad, pihak berkuasa sudah lama mengesyaki kapal berkenaan, dipercayai bot nelayan Taiwan, terbabit dalam sindiket dadah sejak Disember lalu.

Kapal itu terbabit yang pada awalnya mengibarkan bendera Singapura, menukarnya kepada bendera Indonesia apabila dihampiri bot peronda tentera laut.

Kapal itu kemudian dibawa ke Batam dan pemeriksaan menemui dadah yang disembunyikan di dalam 41 guni beras berjumlah 1,029 kilogram (kg).

“Kami menemui lebih satu tan dadah jenis syabu dan jumlahnya mungkin meningkat kerana pemeriksaan masih dilakukan,” kata Achmad. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com