Ancaman Gajah Di Baling Kembali, Perhilitan Buat Pemantauan


ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Batu Lapan, Mukim Siong di sini bimbang dengan kehadiran semula sekumpulan gajah yang memusnahkan tanaman mereka sejak seminggu lalu.

Seorang penduduk menggunakan pelbagai cara untuk mengelak haiwan tersebut menghampiri kawasan rumah dan tanaman mereka, tetapi tidak berhasil.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Md Sakri Md Piah, berkata haiwan berkenaan dikesan semakin menghampiri penempatan dalam jarak kira-kira 100 meter.

Katanya, penduduk kampung yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah bimbang untuk keluar menoreh.

"Kira-kira jam 3 pagi kelmarin, tiga gajah membawa seekor anak menghampiri rumah dan merosakkan tanaman.

"Kehadiran gajah itu membimbangkan kerana haiwan berkenaan menghampiri ketika penduduk nyenyak tidur dan terjaga apabila tempikan," katanya memetik BH Online.


Md Sakri mendakwa tanaman penduduk seperti pisang, kelapa, anak getah, cempedak, nanas, kelapa sawit dan sayur-sayuran turut musnah.

Pada ketika ini, katanya, penduduk bergilir berjaga pada waktu malam bagi mengelak gajah menghampiri kediaman.

"Penduduk menggunakan mercun bola dan menyalakan unggun api untuk menghalau gajah, namun haiwan terbabit masuk ke kebun menggunakan laluan lain," ujarnya.

Selain itu, Md Sakri meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PRRHILITAN) menghalau gajah terbabit ke dalam hutan tempat habitatnya.

Bagi seorang penduduk, Mohd Razali Isa, 48, berkata banyak pokok pisangnya yang sudah berbuah dimusnahkan gajah terbabit, menyebabkan pendapatan sampingannya terjejas.

"Sudahlah tidak berani keluar menoreh, lebih 100 pokok pisang di kebun saya turut musnah," katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kedah, Muhammad Ali Che Aman, berkata gajah itu dipercayai keluar dari Hutan Simpanan Ulu Muda dan bergerak mencari makanan.

"Setakat ini tiada ancaman kepada manusia tetapi pegawai dan anggota akan diarah membuat pemantauan," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com