Altimet Dedah Iqram Cuba ‘Ceroboh’ Pentas


SEJURUS lagu yang menjadi juara diumumkan pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Ahad lalu, gelagat Iqram DInzly menari di atas pentas terus menjadi bualan netizen.

Ada yang merasakan tindakan Iqram naik pentas itu melucukan, ada juga yang merasakan perkara tersebut sebagai biadap.


Ada juga beranggapan ia sebagai gimik pihak penganjur.

Namun, tindakan Iqram berlari ke atas pentas ketika Hael Husaini meraikan kemenangannya menerusi lagu Jampi bukanlah dirancang pihak produksi AJL32.

Ini kerana penyanyi rap, Altimet mendedahkan melalui akaun Twitter miliknya bahawa sebelum kejadian itu, difahamkan Iqram cuba melakukan perkara sama ketika Altimet sedang membuat persembahan.


Altimet menerusi perkongsian itu secara ‘sinikal’ mengucapkan tahniah kepada krew pihak produksi yang berjaya menghalang Iqram daripada mengalami ‘kecederaan’.

Altimet menjelaskan budaya muzik irama Hip Hop menerima tetamu tidak diundang dengan cara ‘berbeza’ dengan genre muzik lain.

“Baru dapat tahu masa #AJL32 hari tu, Che Iqram nak naik pentas masa aku buat persembahan. Syabas kepada staff Media Prima Berhad sebab lindungi dia dari ‘kecederaan’.

“Ini hip hop, bro. Kalau tak diundang naik pentas kau naik jugak, siku, kaki, buku lima semua kau boleh jamah der. Adat kami lain sikit,” tulisnya.


Altimet turut menambah, dia berlalu meninggalkan pentas sejurus Iqram membuat kemunculan ketika juara melakukan persembahan untuk kali kedua kerana tidak mahu ‘mengeruhkan’ keadaan.

“Sebab itu masa kau naik stage bila juara nyanyi lagi sekali aku ‘chow’. Taknak keruhkan keadaan,” tambahnya lagi.

Tindakan Iqram itu dipercayai dilakukan tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada pihak produksi TV3.

Ketika seorang peminat bertanyakan sekiranya Altimet akan mencederakan Iqram sekiranya Iqram menyerbu pentas ketika itu, Altimet dengan tenang menjawab persembahan tersebut akan diingati ramai jika ia terjadi.


“Saya cuma mengatakan yang anda semua akan mendapat satu persembahan yang tidak boleh dilupakan,” balas Altimet kepada pertanyaan tersebut.

Pada acara berprestij itu, Altimet yang bertanding menerusi lagu Amboi memenangi kategori Persembahan Terbaik setelah nyanyiannya itu memukau juri serta penonton dan mendapat sorakan terbesar malam tersebut.


Kejayaan Altimet itu menyaksikan dia membawa pulang sebuah trofi serta wang tunai sebanyak RM12,000.

Selain kejadian yang didakwa Altimet dan gelagatnya di pentas ketika Hael membuat persembahan, Iqram juga sebelum ini pernah melakukan kejutan sama apabila menyerbu pentas ketika penyanyi yang popular dengan lagu Pematah Hati, Nabila Razali  membuat persembahan di satu majlis. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com