Air Sungai Biru Di Gunung Keriang Berasid, Tidak Selamat Diminum


ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil air sungai biru berdekatan Gunung Keriang, di sini, untuk dijadikan minuman.

Sejak tular di laman sosial, kawasan sungai biru itu tidak putus-putus menerima kunjungan orang awam terutama rakyat dinegeri ini untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti mandi-manda dan memancing.

Difahamkan, ada penduduk tempatan mengambil air biru itu tanpa diketahui tujuannya, sama ada untuk diminum atau sebab lain.

Menurut Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah, Perlis dan Pulau Pinang  (JMGKPP), Azhari Ahmad berkata, air sungai biru didapati memiliki nilai PH rendah, iaitu 3.0.

"Jadi, ia bermakna kandungan air berasid dan tidak selamat diminum jika berpandukan kepada standard Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).

"Berdasarkan standard WHO, nilai PH air yang selamat untuk diminum adalah antara PH6.5 hingga PH8.5," katanya memetik Sinar Online.


Jelasnya, keputusan itu diperolehi berdasarkan ujian kimia lapangan keatas kandungan air yang dijalankan oleh kakitangan JMGKPP di beberapa tapak sekitar sungai berkenaan.

Malah katanya, sumber dan punca air sedemikian masih belum dikenal pasti. Sampel air perlu dibawa ke makmal untuk ujian lanjut.

"Setakat ini, kita dapati air berwarna biru menunjukkan nilai PH rendah sekitar 2.9 hingga 3.5, manakala bagi air yang tidak biru memiliki nilai PH sekitar 5.5, iaitu hampir normal," ujarnya.

Terdahulu, kajian kimia lapangan dilakukan Ketua Pegawai Geosains, Hamdan Ariffin bersama seorang pengawai geosains dan pembantu pegawai geosains. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com