Air Jampi Tiada Kaitan Dengan Penderaan


KUALA PILAH - Pihak polis menegaskan air jampi yang dirampas di rumah bapa kandung Allahyarham Nur Aina Nabihah Mohammad, 9, di Lukut, Port Dickson, Jumaat lalu, tiada kaitan langsung dengan penderaan yang dilakukan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata air jampi itu hanya kegunaan keluarga dan tidak bersabit penderaan hingga mengakibatkan kematian.

Katanya, sesiapa saja boleh menggunakan air jampi berkenaan tetapi dalam kes ini ia langsung tiada kaitan.

"Bagi kes penderaan Nur Aina Nabihah, pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci dan mengambil keterangan daripada mereka yang terbabit," katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas dan Kor Kadet Polis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Burhanudin, di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan awal polis hanya mendapati mangsa tidak mahu meminum air jampi terbabit menyebabkan bapanya berang sebelum menderanya.

Media pada Khamis lalu melaporkan Nur Aina Nabihah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas tidak sedarkan diri.

Hasil bedah siasat mayat mendapati mangsa didera apabila usus koyak, patah rusuk kiri dan lain-lain kecederaan.

Sehubungan itu, pihak polis menjalankan siasatan di rumah suspek di Taman Vista Jaya Lukut merampas bangku kecil, tali pinggang dan bekas air jampi yang digunakan memukul mangsa.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com