Ahmad Bashah Yakin Masyarakat Siam Masih Bersama Kerajaan


ALOR SETAR - Pandangan seorang dua pemimpin masyarakat Siam yang menyokong parti pembangkang bukanlah mewakili seluruh penduduk minoriti itu di negeri Kedah.

Masih ramai masyarakat Siam masih setia bersama UMNO/BN dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak.
    
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata masyarakat Siam perlu berhati-hati dengan janji manis parti pembangkang apabila dekat dengan pilihan raya umum ini.

Beliau bagaimanapun percaya masyarakat minoriti masih bersama UMNO dan kerajaan kerana BN yang memerintah sejak lama tidak akan meminggirkan mereka dalam menikmati pembangunan.

"Kerajaan sentiasa memenuhi harapan mereka yang juga bertaraf bumiputera. Cuma ada sedikit sebanyak kawasan yang mungkin tertinggal dan ia akan dipenuhi oleh kerajaan," kata Ahmad Bashah.

Menurut Ahmad Bashah, banyak bantuan yang diberikan kepada perkampungan penduduk keturunan Siam di negeri ini termasuk persekolahan dan rumah ibadat mereka.

"Mereka juga mempunyai peluang sama rata dengan bumiputera lain termasuk orang Melayu," kata Ahmad Bashah kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dan angpau sempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada 850 keluarga Cina di Taman Saga, Alor Mengkudu dekat sini semalam.

Bagaimanapun Ahmad Bashah  juga tidak menafikan seorang dua pemimpin masyarakat itu yang bersama pembangkang apatah lagi ada parti baharu yang muncul.

Beliau berkata demikian mengulas seorang pemimpin masyarakat Siam di Baling yang cenderung untuk menyokong parti kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yakin penduduk Baling termasuk masyarakat Siam tidak mudah digula-gulakan dengan parti yang hanya muncul pada musim pilihan raya.

"Penduduk Baling sendiri tahu siapa yang susah payah bangunkan kampung mereka yang bukan hanya sehari dua tetapi sejak dari dahulu lagi.

"Seperti di Felda Teloi Kanan ini, sudah masuk tiga generasi dan mereka adalah bukti hidup ke atas susah payah kerajaan membangunkan kawasan ini," katanya kepada pemberita di program Himpunan Generasi Muda Parlimen Baling peringkat Mukim Teloi Kanan.

Abdul  Azeez berkata kehadiran pemimpin pembangkang termasuk Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz  Dr Mahathir ke Baling baru-baru ini membuktikan mereka berminat dengan daerah ini.

Pembangunan pesat dan kewujudan pelbagai kemudahan serta infrastruktur menyebabkan Baling menjadi tumpuan parti pembangkang dalam kempen pilihan raya umum akan datang, kata beliau yang Ketua UMNO Bahagian Baling.

"Pembangkang nampak Baling ini luar biasa dan perlu mereka tawan. Mereka datang dan hanya perlu tukar cat sahaja," katanya.

Program tersebut dihadiri lebih 3,000 penduduk termasuk golongan muda Mukim Teloi - Kedahnews.com.


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com