Ahmad Bashah Minta Masyarakat Cina Tak Ulangi Kesilapan Lalu


ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menasihati masyarakat Tionghua supaya tidak mengulangi kesilapan lalu kerana memilih pemimpin yang salah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu. 

Menurutnya, pemilihan pemimpin yang tidak betul dan “semborono” menyebabkan sesetengah kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dihantui kegagalan akibat sikap pemimpin yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

“Saya minta janganlah ulangi kesilapan lalu, dahulu dah buat tengoklah apa yang telah berlaku, kembalilah kepada Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti dapat membantu rakyat dan membangunkan kawasan ,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Jamuan dan Penyampaian Sumbangan Sempena Tahun Baharu Cina 2018, di Sri Mentalon di sini, semalam.

Kira-kira seramai 600 orang masyarakat Tionghua dari 36 kawasan DUN negeri ini hadir bagi menerima sumbangan berupa ang pau dan limau mandarin dari kerajaan Kedah.

Ahmad Bashah menegaskan rakyat tidak akan rugi jika memilih pemimpin BN sebagai wakil rakyat mereka kerana ia bakal menjadi “jambatan” penghubung yang rapat dengan kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, masyarakat Cina turut diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan individu atau kumpulan pemimpin pembangkang yang akan muncul pada lima tahun sekali untuk menabur janji-janji pilihan raya serta menggesa rakyat untuk menukar kerajaan sedia ada.

“Kekalkanlah kerajaan BN kerana menukar kerajaan bukan seperti menukar baju kerana kesannya akan berpanjangan dan belum tentu menjamin masa depan yang lebih baik yang kita nikmati ketika ini,” katanya.

Ahmad Bashah berkata, ingatan ini juga sering diperkatakan kepada kaum-kaum lain kerana ianya sangat penting demi menjamin masa depan generasi akan datang. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com