Ada Unsur Sabotaj Ingin Jatuhkan Perniagaan Kopi Pracampuran


GEORGETOWN - Individu yang mengedarkan kopi pracampuran 4 dalam 1 hingga menyebabkan tujuh pesakit terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) minggu lalu, dikatakan berbuat demikian kerana mahu menjatuhkan perniagaan syarikat terbabit.

Ini kerana berdasarkan siasatan polis, hanya produk daripada syarikat berkenaan yang dicampur dadah sebelum diberikan secara percuma kepada orang ramai.

Sumber berkata, individu terbabit juga dilihat sengaja mencampur dadah dalam peket kopi itu hingga menyebabkan pengguna mengalami simptom lemah dan lesu.

"Rumusan awal yang dapat dibuat setakat ini adalah kerana unsur sabotaj, namun kita akan melakukan siastan menyeluruh sama ada pemilik kilang mempunyai musuh dalam perniagaan atau sebaliknya.

"Kita juga masih belum mengetahui jenis dadah yang dicampur itu namun setakat ini ujian awal mendapati ia kemungkinan amfetamin atau metamfetamin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima lima laporan berhubung kes kopi pracampuran 4 dalam 1 yang menyebabkan tujuh pesakit dimasukan ke HPP sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, lima laporan polis itu masing-masing dibuat dua doktor, seorang pesakit, pegawai teknologi makanan dan pengurus kilang terbabit.

Menurutnya, polis juga sudah mengambil keterangan daripada semua mangsa kecuali seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menghilangkan diri selepas menerima rawatan di HPP.

"Kita juga masih menunggu laporan lengkap ujian darah dan air kencing yang dijangka diketahui paling cepat dalam tempoh dua minggu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 272 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com