Aceh Wajib Semua Pramugari Pakai Hijab


BANDA ACEH - Semua pramugari mana-mana syarikat penerbangan yang mendarat di sini, diwajibkan memakai hijab sebaik sahaja mendarat di wilayah ini, atau berdepan dengan hukuman oleh polis agama.

Ketika ini, undang-undang Islam yang dikuatkuasakan di sini, mewajibkan semua wanita beragama Islam memakai tudung, sementara wanita bukan beragama Islam perlu memakai pakaian yang sopan.

Bagaimanapun, Ketua Daerah Aceh Besar, Mawardy Ali, berkata terdapat pramugari yang enggan mematuhi peraturan itu ketika berada di wilayah ini, walaupun bagi waktu yang singkat, sehingga memaksa Aceh menguatkuasakan peraturan baharu itu.

"Saya harap syarikat penerbangan akan menghormati keunikan yang dimiliki oleh Aceh yang melaksanakan undang-undang Syariah.

"Kami akan mengedarkan maklumat mengenai peraturan baharu ini kepada semua syarikat penerbangan.

"Selepas itu, baharulah kita akan menyentuh mengenai bentuk hukuman yang akan dikenakan jika mereka melanggar peraturan itu.

"Jika pramugari yang gagal mematuhi peraturan itu beragama Islam, teguran akan diberikan kepada beliau dan jika kesalahan itu dilakukan berulang kali, saya akan mengarahkan polis Syariah untuk menahannya," kata Mawardy yang bakal mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat penerbangan minggu ini. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com