Abang APM Kubang Pasu Tangkap Ular Tedung Selar Besar!


ALOR SETAR - “Sepanjang lima tahun bertugas menangkap ular dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ini kali pertama saya berdepan dengan ular tedung selar yang besar dan agresif seperti ini.

"Reptilia itu cuba menyerang kami tetapi dengan kemahiran yang kami ada, kami berjaya mengelak dan berjaya menangkap ular sepanjang enam meter seberat 28 kilogram itu," ujar seorang anggota APM Kubang Pasu, Shahrul Azri Aziz, 27.

Dalam kejadian Khamis lalu, ular tedung selar tersebut ditangkap anggota APM Kubang Pasu di rumah seorang penduduk di Napoh, kira-kira 4 petang.


Kata Shahrul Azri, pada mulanya ular tedung selar itu bersembunyi di bahagian timbunan zink dan disedari jiran pemilik rumah itu sebelum reptilia itu hampir memasuki rumah penduduk.

Tambahnya, dia bersama dua anggota kemudian berpecah dan dia memegang bahagian ekor ular.

"Sewaktu ular itu cuba mengembangkan kepalanya, seorang lagi anggota sempat memegang bahagian kepalanya menggunakan penjerut sebelum memasukkannya ke dalam guni," katanya memetik MyMetro.

Sementara itu, Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, ular tedung selar itu akan diserahkan kepada Taman Ular Batu Pahat di Perlis.

Beliau berkata, ular itu adalah yang paling besar ditangkap di daerah ini.

"Setakat ini, kes tangkapan ular di daerah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 58 kes sejak awal bulan lalu.

"Tahun lalu, kami berjaya menangkap sebanyak 623 pelbagai spesis ular seperti tedung senduk, tedung senduk tikus, rusuk kerbau, sawa burung dan ular kapak.

"Kesemua ular itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Jelas Kamalruzamal, kebanyakan ular berkenaan ditangkap di kawasan kampung dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan hutan dan semak samun di daerah ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com