AADK Kedah Lantik Ikon Setiap Daerah Tangani Masalah Dadah


ALOR SETAR – Dalam usaha mengekang masalah dadah yang semakin membimbangkan dalam komuniti hari ni, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mewujudkan pengiktirafan dan pemilihan Ikon di setiap daerah bagi memberi pengaruh positif kepada sesebuah komuniti.

Pengarah AADK Negeri Kedah, Mahadzir Elias berkata, perkara tersebut menjadi keutamaan memandangkan peranan golongan berusia untuk menegur golongan muda yang terlibat dalam dadah terutama pelajar sekolah semakin berkurangan.

“Kriteria pemilihan ikon ini tidak terhad. Individu itu boleh jadi atlet sukan, ahli agama atau sesiapa saja yang mempunyai pengaruh positif bagi memberi manfaat kepada komunit mereka.

“Kita perlukan ikon-ikon ini dalam usaha memberi teguran, penerangan dan jalan keluar kepada masalah dadah yang dihadapi masyarakat setempat memandangkan golongan muda pada masa kini, susah nak dengar cakap orang tua,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Ikon AADK Peringkat Daerah Kulim di sini semalam.

Seramai lima orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pendaki Gunung Everest Azim Afif, 28, dipilih sebagai Ikon AADK daerah Kulim pada majlis itu.

Selain itu, pihak AADK sentiasa terbuka dalam kaedah memberi rawatan kepada penagih dadah termasuk inisiatif menghantar mereka ke pusat pengajian agama di Indonesia.

“Kita tidak mengehadkan kaedah rawatan kerana ia bergantung kepada keperluan pesakit itu sendiri. Jika ada yang perlukan dan sesuai dengan kaedah pengisian jiwa, jadi menghantar ke pesantren tidak menjadi masalah, begitu juga dengan ubatan,” katanya.

Sementara itu, Azim menyifatkan pemilihan itu sebagai sumbangannya kepada masyarakat dalam menangani masalah dadah.

“Saya percaya, karakter yang positif akan membantu mereka ini kembali semula ke jalan benar dan inilah yang akan saya lakukan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com