7 PATI Wanita Warga Thailand Ditahan Di Kedah


ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Thailand.

Penahanan itu dilakukan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Mergong di Alor Setar pada awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen Negeri, Zuhair Jamaludin berkata ‘Op Gegar’ itu bermula kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi mensasarkan pusat-pusat hiburan seperti kafe, pub, pusat karaoke dan rumah urut.

Menurutnya, antara yang ditahan berumur 23 hingga 32 tahun disabitkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/36.

“Operasi Gegar itu dilakukan bersama 13 anggota yang memeriksa 35 warga asing, daripada jumlah itu tujuh ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial dan disyaki bekerja di premis kafe dan pub terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini,semalam.

Tambah Zuhair, ketika serbuan dilakukan terdapat segelintir di antara wanita terbabit berjaya melarikan diri, namun tidak dapat mengalahkan ketangkasan dan kecekapan anggota JIM.

Akibat itu menyebabkan kesemua mereka berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.

Berikutan itu, kesemua PATI dibawa ke lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com