6 Murid Di Pasir Gudang Hidapi Influenza


JOHOR BAHRU – Enam murid dari empat sekolah rendah di Pasir Gudang, Johor disahkan menghidapi Influenza semalam.

Mereka adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chien Chi, SJKC Masai dan SK Taman Scientex.

Semasa mengesahkan perkara itu, Pengarah Pendidikan Johor Shaharudin Sharif berkata kesemua pelajar terbabit mengalami demam berpanjangan dan mempunyai simptom lain berkaitan Influenza.

“Saya telah dimaklumkan oleh sekolah-sekolah terbabit. Bagaimanapun, saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai keadaan pelajar-pelajar terbabit,” katanya semasa dihubungi semalam.

Murid-murid berkenaan dicutikan bagi mengelak penyakit itu merebak dan pihak pengurusan sekolah-sekolah yang terlibat sudahpun mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata seorang murid Tahun Dua SK Taman Dahlia dimasukkan ke hospital swasta pada Ahad lepas (4 Februari) dan disahkan menghidapi Influenza A.

Pesakit itu telah dibenarkan keluar hospital semalam, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ayub berkata selepas pihak sekolah dimaklumkan mengenai keadaan murid itu oleh ibunya, mereka telah mengambil langkah proaktif dengan memindahkan murid-murid sekelas dengannya ke bilik lain bagi meneruskan pembelajaran sementara bilik darjah asal dibersihkan.

Pejabat Kesihatan juga melakukan pengesanan kes lain di sekolah terbabit.

“Sehingga kini, hanya ada satu kes sahaja yang dikesan mengalami penyakit Influenza A di sekolah tersebut. Pejabat kesihatan akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa melalui klinik-klinik kesihatan terdekat,” katanya.

Ayub juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau mengguna sanitasi.

Mereka juga diminta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami demam, batuk, selsema, sakit tekak, sakit badan dan lesu. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com