5 Sebab Kenapa Bina Rumah Menggunakan Buluh Adalah Pilihan Lebih Bijak!


BOSAN dengan rumah yang dibina menggunakan batu bata? Jika anda merancang untuk membina rumah untuk kediaman, atau apa-apa juga binaan seperti gazebo, rumah permainan atau sebagainya, anda mungkin boleh pertimbangkan buluh sebagai bahan binaan utama.

Berikut lima sebab mengapa buluh mungkin jadi bahan binaan paling sesuai untuk membina kediaman anda!

Bahan yang lebih lestari

Buluh boleh tumbuh lebih cepat. Ia hanya memerlukan tempoh 3 tahun untuk matang dan sesuai digunakan sebagai bahan binaan berbanding kayu balak yang memerlukan tempoh antara 20 hingga 50 tahun untuk matang.

Ringan

Sifat buluh yang ringan memudahkannya untuk dialih tanpa menggunakan jentera berat. Ini boleh mengurangkan kos dan masa pembinaan.




Kuat

Buluh mempunyai daya ketahanan seperti konkrit dan mampu menahan tekanan sehingga empat ton. Ia juga tahan lama sehingga mencapai jangka usia sepanjang hayat.

Tahan gempa

Penyelidik dari Pusat Kajian BInaan Infrastruktur, Universiti Teknologi Sydney yang membuat kajian mengenai bahan binaan tahan gempa menemukan buluh sebagai bahan penting yang mampu menampung struktur agar ia tidak runtuh. Buluh juga sudah cukup kuat untuk menahan daya yang kuat yang terhasil daripada gempa.

Cantik dan unik

Seperti mana-mana, aspek estetik turut memainkan peranan penting. Binaan daripada buluh bukan sahaja menakjubkan malah boleh dijadikan daya tarikan yang ikonik.

Begitupun, arkitek tempatan, Eleena Jamil dalam satu temubual bersama ThinkCity berpendapat penggunaan buluh sebagai bahan binaan masih belum jadi amalan di Malaysia memandangkan masih tiada standard mengenai penggunaannya.

“Alangkah bagusnya kalau kita boleh menggunakan buluh sebagai bahan binaan utama. Cabarannya ialah bagi mewujudkan beberapa jenis peraturan dan piawaian mengenai cara merawat buluh untuk memastikan buluh yang akan digunakan ini benar-benar dirawat dengan baik dan pada usia yang tepat, saiz yang betul dan kekuatan yang betul,” jelasnya.

Antara contoh binaan berasaskan buluh di Malaysia ialah 'The Bamboo Playhouse’  di Taman Botanikal Perdana Kuala Lumpur hasil rekaan Eleena Jamil Architects.

Buluh memerlukan rawatan kerana ia secara semulajadinya terdedah kepada jangkitan kulat dan serangga dan ia boleh menyebabkan ia rosak.

Bagi pelopor binaan buluh, Elora Hardy yang memulakan gerakan binaan buluh di Bali, buluh, katanya, mudah dirawat menggunakan ‘Borax’, iaitu sejenis garam semulajadi.

Teknik ini diguna beliau untuk membina sebuah sekolah mesra alam di Bali.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com