42 Pertubuhan PDK Di Kedah Akan Didaftarkan Dengan RoS


ALOR SETAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah akan mendaftarkan 42 pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negeri ini dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malasia (RoS) bagi memastikan pengurusan PDK berjalan dengan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Suraya Yaacob mendedahkan sehingga kini hanya 10 PDK sahaja yang didaftarkan di bawah ROS sementara selebihnya masih dalam proses kelulusan.

"JKM akan pastikan baki 32 PDK yang masih belum didaftar akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan ini. Apabila sudah berdaftar nanti ia akan memudahkan pengurusan PDK untuk melatih orang kurang upaya (OKU) di dalam komuniti setempat.

PDK juga mempunyai Program Pemerkasaan Ekonomi yang melibatkan pelatih OKU (orang Kurang Upaya) yang menghasilkan produk jualan dan produk-produk tersebut akan dipasarkan secara terbuka di karnival yang dijalankan," katanya.

Beliau berkata selepas merasmikan Majlis Semarak Kasih Kebajikan 2018 di Changlun, kelmarin.

Sementara itu, Suraya memberitahu JKM negeri Kedah telah menerima peruntukan bantuan kewangan sejumlah RM26 juta untuk tahun 2018 dan bakal memberi manfaat kepada 7,699 orang penerima melalui pelbagai skim bantuan bulanan.

Ujarnya, peruntukan itu melibatkan antaranya RM21 juta bagi Bantuan Am, RM1 juta Bantuan Bencana, RM1 juta Insentif Kelahiran Anak (IKA) dan RM300,000 bagi Skim Insentif Pendaftaran OKU. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com