2,925 Saman Dikeluarkan Polis Kedah Dalam Masa 5 Hari!


ALOR SETAR -Hanya mengambil masa lima hari sahaja, sebanyak 2,925 saman telah dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan dalam Op Selamat bersempena Tahun Baharu Cina bermula sejak 9 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, antara saman yang dikeluarkan pihaknya adalah 1,453 saman yang melibatkan perangkap laju.

“Antara lain, sebanyak 553 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan, diikuti 44 saman atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat, penggunaan telefon bimbit (15), memotong garisan (15) dan lain-lain.

“Dari 553 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal, 179 saman disebabkan tidak memiliki lesen, diikuti lain-lain kesalahan (262), tiada cukai jalan (65), tiada insurans (14), ubahsuai kenderaan (12) dan penunggang bawah umur (6),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Op Bersepadu bersempena Op Selamat 12/2018 JSPT Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Isnin lalu.

Zahari berkata, penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen boleh terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Ibu bapa sepatutnya memikul tanggungjawab terhadap anak mereka supaya menghalang daripada menunggang motosikal jika tiada lesen kerana dikhuatiri menyumbang kepada kemalangan ataupun jenayah lain.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia menasihatkan pengguna jalan raya tidak merempuh sekatan jalan raya atau kelam kabut apabila berdepan sekatan jalan raya.

“Pengguna boleh maklum polis, sekiranya bimbang tidak ada duit untuk bayar saman.

"Kita ada garis panduan untuk memudahkan mereka. Lagipun, sekatan dilaksanakan bukan untuk susahkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Kedah, Nasruddin Abdul Rahman pula berkata, pihaknya menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 14 pengguna dalam operasi itu.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing itu, dua daripada pengguna berusia 31 dan 40 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

"Untuk itu, mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

AADK Kedah mahu memastikan agar pengguna bebas dari penggunaan dadah berikutan ia antara penyumbang kepada kemalangan jalan raya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com