1,200 Petugas Olimpik Digugurkan Kerana Jangkitan Virus


PYEONGCHANG - Lebih daripada 1,200 pengawal keselamatan digugurkan daripada Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang kerana disyaki mengalami wabak norovirus, kata penganjur hari ini.

Daripada kumpulan itu, kira-kira 41 orang dilaporkan secara tiba-tiba mengalami muntah dan cirit-birit pada Ahad lalu.

Mereka dihantar ke hospital yang kemudiannya, mengesahkan sebilangan besarnya mengalami jangkitan norovirus.

Norovirus yang semakin menular itu dipercayai disebarkan melalui makanan dan air yang tercemar.

"Kira-kira 1,2000 petugas yang dijangkiti virus berkenaan digugurkan dari tugasan mereka," kata seorang pegawai Jawatankuasa Penganjur Olimpik Pyeongchang pada AFP.

"Tempat mereka digantikan dengan kira-kira 900 anggota tentera," tokoknya.

Katanya, pihak berkuasa kesihatan sedang menyiasat mengenai punca dan asal virus yang membimbangkan itu.

Kesemua pengawal keselamatan dari sebuah syarikat keselamatan berkenaan ditempatkan di pusat latihan belia Pyeongchang, yang terletak berasingan dari perkampungan atlit di situ. - AFP.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com