Warga Pakistan Didakwa Merompak


KUALA LUMPUR - Seorang rakyat Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan merompak pelancong senegara, bulan lalu.

Abdullah, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan terhadap seorang lelaki, Chaundry Shahid Latif, 61, dengan melarikan wang tunai AS$1,800 (RM7,310) di Jalan Dang Wangi berhadapan sebuah restoran di sini pada jam 8 malam, 17 Disember lalu.

Pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhd Faizal mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda dan sebat.

Di mahkamah sama, seorang buruh binaan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang pembantu tadbir Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM), Nor Shahirah Mohamad Unis, 23, dengan melarikan sebuah telefon bimbit dan sebuah motosikal.

Aris Che Song, 23, bersama dua masih bebas didakwa melakukan perbuatan tersebut di seberang Jalan KTM, Taman Wahyu di sini pada jam 9.55 malam, 30 Oktober tahun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 395 dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com