Warga Padang Terap Terpaksa Ke Alor Setar Jika Mahu Pergi Bank


KUALA NERANG - Peniaga di Padang Terap merayu kepada beberapa agensi perbankan supaya dapat mewujudkan bank perniagaan di bandar itu.

Peniaga mendakwa bank yang terdapat di bandar Kuala Nerang sekarang itu tidak menyediakan kemudahan seperti yang dikehendaki peniaga sehingga mereka terpaksa pergi ke kawasan berdekatan untuk urus niaga.

Peniaga, Ong Keen Tong, 52, berkata, selepas sebuah bank menutup operasinya di bandar itu, ia memberi kesan kepada orang ramai serta peniaga di situ.

“Ramai yang terpaksa ke Alor Setar yang jaraknya sangat jauh dan mengambil masa lama. Walaupun hanya mempunyai masalah yang kecil tetapi kami terpaksa pergi ke Alor Setar yang jaraknya sejauh kira-kira 40 kilometer dari sini.

“Pernah juga apabila saya mahu memeriksa baki semasa di dalam akaun terpaksa pergi ke Alor Setar yang mengambil masa. Masalah seperti ini sering dihadapi peniaga lain serta beberapa pegawai di jabatan kerajaan di sini,” katanya.

Menurut Kean Tong, ketiadaan bank seperti sebelum ini menyebabkan dia terpaksa berulang–alik ke Alor Setar sebanyak tiga atau empat kali seminggu.

Ramai dalam kalangan peniaga serta orang ramai kini mengeluh dengan ketiadaan bank perniagaan yang dapat membantu perniagaan mereka di daerah itu.

Syed Ibrahim Syed Omar pula berkata, masalah ketiadaan bank perdagangan itu turut memberi kesan kepada 260 pembeli getah berlesen.

Katanya, pembeli getah terpaksa ke Alor Setar setiap hari bagi mengambil wang tunai untuk penjual getah dengan menanggung risiko.

“Sebagai bandar Kuala Nerang yang dinaik taraf pada 2010, sewajarnya sebuah bank perniagaan diwujudkan di sini. Ketiadaan sebuah bank perdagangan yang mampu memberi perkhidmatan kepada peniaga di sini seolah-olah aktiviti ekonominya semakin lumpuh.

“Saya percaya dengan wujudnya sebuah bank di daerah ini akan merancakkan kembali ekonomi di sini apatah lagi jika Bandaraya Getah akan dibina tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim, sebelum ini jika peniaga ada sebarang masalah akaun dengan bank, mereka mampu pergi dalam masa singkat kerana jaraknya dekat.

Bagaimanapun sekarang terpaksa mengambil masa lama untuk ke Alor Setar hingga menyebabkan urusan perniagaan mereka juga turut terjejas.

“Oleh itu saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil perhatian dengan masalah yang dihadapi penduduk di Padang Terap ini supaya sebuah bank perniagaan dapat diwujudkan semula,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com