Warga Emas Di Pendang Hanya Bergantung Harap Pada Adik


PENDANG - Seorang warga emas yang hilang keupayaan untuk berjalan dan hanya mampu menggesot kini bergantung harap kepada adiknya untuk meneruskan kehidupan.

Mangsod@Mansur Saad, 75, kini tinggal bersama adiknya, Alias Saad, 49 di Kampung Alor Besar sejak tahun lalu.

"Pak cik dah tak tau mana nak tuju, hanya rumah adik saja yang Pak Cik boleh tumpang," katanya.

Katanya, dia mengalami masalah saraf yang menyebabkan dia tidak berupaya untuk berjalan dan hanya mampu menggesot untuk bergerak.

Mansur hanya tidur di ruang luar rumah kerana ia lokasi sesuai dan selesa buatnya bergerak.

Menurut Mansur, dia tidak dapat bergerak dengan sempurna sejak lima tahun lalu yang berpunca daripada terjatuh.

"Kalau boleh tu, kalau ada orang tolong bagi saya kerusi roda pun saya dah bersyukur," katanya.

Alias berkata, dia hanya mampu membantu abangnya itu dengan menyediakan tempat tinggal kerana dia sendiri merupakan penerima bantuan zakat.


"Saya sendiri pun dah tak boleh kerja kerana sakit saraf jadi hanya bantuan zakat sebulan RM450 yang menjadi sumber saya berbelanja menguruskan tujuh orang anak berusia sembilan hingga 22 tahun yang masih bersekolah semuanya.

"Alhamdulilah ada sikit tanah bendang yang saya pajak dekat orang kampung boleh la dalam RM700 dan duit tu lah saya guna untuk keperluan kami sekeluarga," katanya.

Katanya, jika ada pihak yang membantu abangnya dia akan merasa lega kerana pendapatannya hanya cukup untuk menguruskan keluarganya sahaja.

Menurut Alias, dia turut membina tandas berhampiran tempat abangnya tidur iaitu diluar rumah.

"Dia lebih suka tidur luar, bila ajak masuk dalam rumah dia tak mau sebab susah nak pi tandas," katanya.

Kisah Mansur ini turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang yang turut turun padang, baru-baru ini.

Ketua JKM Pendang, Syaffrey Ibrahim berkata, pihaknya telah memberikan sumbangan dari Tabung Bantuan Segera (JKM) sebanyak RM200.

"JKM juga akan mengenalpasti bentuk bantuan yang sesuai diberikan kepada Mansur," katanya.

Syaffrey berkata, pihaknya juga akan turut menyumbangkan kerusi roda bagi membolehkan Mansor lebih selesa bergerak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian di akaun Bank islam 02084020504827 atas nama Mangsood @Mansur Saad.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com