Wanita Reka Cerita Kemas Kerana Mahu Bertemu Anak


KUANTAN: Seorang suri rumah merancang laporan polis palsu mengenai dirinya lemas di sungai berhampiran jambatan di FELDA Jengka 15 dekat sini, petang semalam, supaya dapat bertemu empat anaknya.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman, berkata wanita berusia 38 tahun itu sanggup mereka cerita berkenaan dengan harapan menemui empat anak yang tinggal bersama bapa mereka di Kampung Kuala Gali, Dong, Raub.

Beliau berkata, wanita itu tinggal bersama ibunya di sebuah rumah sewa di FELDA Jengka 15 tanpa empat anak dan suaminya sejak dua bulan lalu.

"Dia dalam tekanan dan memang berniat membunuh diri dengan terjun ke sungai semalam tetapi dinasihatkan tidak berbuat demikian. Rancangan seolah-olah dia lemas dibuat kemudian dengan harapan dapat bertemu anaknya.

"Ibu wanita itu hadir ke Balai Polis Jengka pagi tadi dan memberitahu laporan kejadian lemas membabitkan anaknya adalah palsu serta dirancang.

"Susulan itu, kita melakukan siasatan dan mendapati wanita berkenaan selamat. Dia sudah dibawa ke Balai Polis Jengka untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norzamri berkata, wanita itu kini dalam keadaan trauma dan polis akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan khidmat kaunselor sebelum siasatan lanjut diteruskan.

"Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Berdasarkan laporan polis semalam, wanita itu dikatakan memancing di sungai di bawah jambatan bersama ibunya.

Menurut laporan itu, ibu wanita berkenaan terdengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air sebelum mendapati anaknya berada di dalam air dan meminta ibunya mengambil kayu.

Ibu wanita itu mendakwa cuba mencapai anaknya, sebaliknya hanya dapat menarik tudung mangsa sebelum tenggelam lalu dikatakan dibawa arus sungai.

Berikutan laporan itu, operasi mencari dilancarkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), yang kemudian dihentikan pagi tadi selepas dimaklumkan mangsa sebenarnya tidak lemas.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com