Wanita Kesal Duit Anak Darjah 2 'Dirembat' Pak Cik Kantin


Kalau minggu lepas permulaan sesi persekolahan 2018 dikejutkan dengan insiden seorang murid Tahun Satu didakwa makan dalam keadaan mencangkung kerana tempat duduk di kantin dipenuhi ibu bapa yang datang menemani anak masing-masing.

Terbaharu, tular pula rakaman video seorang murid perempuan Tahun Dua mendakwa baki duit belanja sekolahnya berjumlah RM3 ‘dirembat’ oleh seorang peniaga air di kantin sekolah.

Insiden tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Johor Bahru, semalam.

Berdasarkan rakaman video ‘soal siasat’ yang dimuat naik ibu budak perempuan itu, Laila Abdul Wahab, mangsa, yang dikenali sebagai Farisya, 8, memberitahu bahawa wang miliknya berjumlah RM3 diambil oleh ‘pakcik air’.

Mungkin ingin tahu lebih lanjut mengenai perkara itu, Laila bertanya beberapa soalan kepada anaknya dan dijawab oleh budak perempuan itu.

Farisya memaklumkan ibunya memberikan wang saku sebanyak RM5, yang mana RM2 telah dibelanjakan untuk membeli nasi ayam dan air Milo yang masing-masing berharga RM1.

Laila kemudian mahukan kepastian daripada anaknya mengenai baki wang RM3, sebelum dimaklumkan oleh Farisya bahawa seorang peniaga air telah mengambil wang tersebut selepas dia secara tidak sengaja meletakkan wang itu sementara di atas meja untuk menutup botol air minuman.

Mendengar penjelasan anaknya itu, Laila bertanya lagi mengapa Farisya tidak meminta semula wang tersebut daripada peniaga terbabit, sebelum murid itu memberitahu yang dia segan untuk berbuat demikian.

“Kalau dengar, memang geram dengan orang berniaga buat budak kecil begini. Should teach her up something (Perlu mengajarnya sesuatu). Dulu kes buli, sekarang kes orang tua rembat duit budak darjah dua.

“Dah tua-tua tak nak mampus. RM3 memang tak banyak, kira sedekah sajalah kalau ikhlas. Tetapi kalau 10 orang murid dia buat begitu, dah RM30. Kalau 10 hari dah RM300,” demikian tulis Laila, semalam meluahkan rasa kesal dengan insiden tersebut.

Laila menambah dia mengakui kesilapan anaknya yang meletakkan wang di atas meja, namun peniaga terbabit tidak seharusnya sesuka hati mengambil wang tersebut.

“Tetapi walau macam mana pun, mana boleh kira terambil saja, kan? Kalau saya terembat pakcik itu kang, orang kecam,” katanya.

Semakan di laman Facebook Laila mendapati segelintir pengguna media sosial menyarankan wanita itu supaya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah bagi mengelakkan kejadian sama berulang kepada murid-murid lain.

Susulan insiden ini, Malaysian Digest menasihatkan para ibu bapa supaya tidak cepat melatah, sebaliknya mencari jalan penyelesaian yang rasional termasuk berjumpa dengan pihak sekolah ataupun peniaga terbabit bagi mendapatkan kepastian.

Sumber: Malaysian Digest

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com