Wanita Didakwa Subahat Dengan Suami Cabul 2 Kanak-Kanak Perempuan


AMPANG  - Seorang penjaga pusat kebajikan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 11 tahun.

Khairulbariah Mian, 30, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairulbariah didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan Zahari Alwi, 56, terhadap dua kanak-kanak yang ketika kejadian berusia 10 dan 11 tahun untuk mencabul kehormatan mangsa, di mana kesalahan itu adalah hasil persubahatannya dengan Zahari.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dua buah rumah di Taman Keramat dan Taman Seri Keramat, di sini, antara Disember 2015 dan 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 354 kanun sama (akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak, menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Illy Nadiah Yusof, memohon ikat jamin dikurangkan dengan alasan ini adalah kesalahan pertamanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com