Wanita Di Yan Ini Pernah Tinggal Atas Pokok Ketika Hamil


ALOR SETAR – Hanya kerana hidup dalam keadaan serba kedaifan dan kesusahan, sepasang suami isteri ini hidup sebatang kara akibat dibuang oleh keluarga sendiri.

Namun begitu, dugaan hebat itu tidak pernah dijadikan penghalang untuk pasangan muda ini Mohamad Amir Hamid, 22 tahun dan isterinya, Nor Zalila Zainol, 21 tahun untuk terus bertahan mengukuhkan rumah tangga mereka.

Dugaan hebat ini ditempuhi mereka meskipun pada ketika itu wanita tersebut sedang sarat hamil dan terpaksa menjadikan sebuah pokok sebagai 'mahligai impian' mereka berdua menumpang teduh selama setahun.

Apa yang difahamkan pasangan itu hanya mempunyai adik beradik memandangkan kedua-dua ibu bapa mereka telah meninggal dunia.

Cubaan yang dihadapi mereka bertambah hebat apabila pokok yang dijadikan sebagai rumah mereka itu ditebang.

Kemudian, pasangan itu berpindah ke sebuah rumah sebelum dihalau kerana gagal membayar sewa selama empat bulan.

“Sekarang saya tinggal di pondok usang ini di tengah bendang sawah atas tanah rizab milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kira-kira lima kilomter dari jalan ke Kampung Gelam Dua, Yan di sini.

“Setiap malam saya dan isteri akan tidur secara bergilir-gilir memandangkan pondok usang ini sering ‘dikunjungi’ nyamuk selain terpaksa tidur dalam keadaan mengerekot kerana sempit,” katanya

Tambah menyedihkan, Nor Zalila mendedahkan makan tengah hari atau makan malam mereka yang dijamah setiap hati bukan romantik seperti pasangan lain sebaliknya terpaksa berkongsi mi segera.

Ujarnya, kadang kala, dia sengaja memasak mi segera itu dalam tempoh lama bagi membolehkan mi segera itu kembang selain nampak banyak.

“Sedih juga dengan nasib macam ini tetapi saya tidak pernah membiarkan suami membanting tulang sendirian sebaliknya membantu mengambil upah menanam padi.

“Ketika berpantang saya sudah mula membantu suami dengan meninggalkan bayi sendirian di pondok ini,” katanya yang kini anak itu telah berusia lima bulan.

Sementara itu, sekumpulan Belia Muafakat Kedah, Mohammad Nasir Abdul Manaf berkata, dia dan penduduk kampung akan bergotong-royong membantu memindahkan keluarga itu ke sebuah rumah sewa baharu di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut, di sini.

“Saya sudah menyuarakan perkara yang menimpa pasangan ini kepada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com