Video Seks Ada Kaitan Sindiket Antarabangsa


JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia menyiasat sama ada rangkaian pornografi kanak-kanak mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa, kata polis.

Siasatan digerakkan selepas video wanita dewasa melakukan hubungan seks dengan budak lelaki viral di media sosial.

Polis di Jawa Barat berkata, tiga budak lelaki, ada yang semuda tujuh tahun, yang ada dalam video berkenaan kini dalam jagaan pekerja kebajikan.

Sekurang-kurangnya tujuh ditahan termasuk ibu kepada dua budak berkenaan, kerana disyaki melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak dan pornografi dan berhadapan 15 tahun penjara.

"Hasil siasatan awal menunjukkan video itu dijual kepada seseorang di Russia dan Kanada.

"Kami masih menyiasat dan menyelaras perkara ini dengan unit jenayah siber kebangsaan," kata jurucakap polis wilayah, Yusri Yunus, menambah wang menjadi motif yang terbabit.

Pengarah video itu menerima 31 juta rupiah (RM9,251) untuk menghasilkannya, lapor media.

Indonesia terdedah kepada pornografi kanak-kanak dan penderaan seksual golongan bawah umur kerana kemiskinan dan kekurangan aspek penguatkuasaan undang-undang.

Pihak berkuasa menyekat kemasukan 92 pedofilia Australia yang disabitkan ke negara itu tahun lalu, berdasarkan data imigresen. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com