#Undirosak Tidak Salah Tetapi Merugikan


KUALA LUMPUR – Sejak dua minggu kebelakangan ini landskap politik negara digegarkan oleh kempen #undirosak yang mengajak rakyat Malaysia merosakkan undi dengan sengaja sewaktu Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14).

Tiada siapa yang tahu akan mereka yang memulakan kempen ini. Ia bergerak dengan sendiri di media sosial melalui hantaran (post) yang menjelaskan kenapa ia adalah langkah yang terbaik diambil dalam membuat pilihan demokratik.

Bahkan kalau ditanya kepada penyokong kempen ini sekali pun, mereka juga tidak tahu siapa yang mengasaskannya, apa gerak kerjanya atau jika ada yang mendanai kempen ini.

Apa yang pasti, ketika calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menuding jari kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai dalang di sebalik kempen #undirosak, ia disambut dengan sindiran, jenaka dan ketawa para penyokong kempen ini.

ORANG MUDA

‘Hashtag’ #undirosak mula berlegar dan menjadi popular selepas pengumuman rasmi Tun Dr. Mahathir calon perdana menteri PH pada 7 Jan.

Tanpa sebarang organisasi rasmi, aktivis-aktivis kempen menggunakan akaun media sosial milik peribadi untuk menjual propaganda mengajak masyarakat merosakkan undi.

Suara mereka adalah suara peribadi dan tidak mewakili parti politik yang mereka sertai.

Bernama berjaya menemui salah seorang aktivis #undirosak Muhamad Harris Nasril, 36, yang berkata kempen ini bergerak secara organik atas kesedaran rakyat sendiri dan bukan kerana kepentingan politik.

Xby Counterflix

Penting diketahui bahawa kebanyakan penyokong kempen #undirosak ini datang daripada penyokong parti-parti komponen PH sendiri serta beberapa parti pembangkang lain yang tidak terlibat dalam gabungan itu.

Persoalan besarnya adalah, mengapa mereka sanggup melakukan tindakan yang boleh menipiskan peluang PH memenangi PRU14 sedangkan parti-parti komponen PH merasa ini adalah peluang terbaik bagi mereka menawan Putrajaya?

BUKAN ANTI PRU

Dari hari ke hari, kempen ini semakin mendapat sambutan golongan muda serta pengundi atas pagar yang tidak setuju dengan tawaran pilihan sama ada untuk melihat Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kekal sebagai Perdana Menteri atau kembalinya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir kembali memimpin negara.

Oleh itu secara prinsip, jelas bahawa kempen ini bukanlah menyebelahi baik BN mahupun PH. Dalam erti kata lain penyokong kempen ini tidak mahu memberi undi mereka baik kepada BN mahupun PH.

Muhamad Harris menegaskan kempen #undirosak adalah kempen menggalakkan orang ramai menggunakan hak mereka untuk menyuarakan bantahan kepada pilihan demokrasi yang ada di negara ini melalui saluran yang betul.

Bagi Muhamad Harris, merosakkan undi adalah satu hak dalam sistem demokrasi yang dilindungi sistem pilihanraya di negara ini.

Menurut beliau, tindakan merosakkan undi bukanlah satu kesalahan dalam proses pilihanraya. Ia bukan usaha mengajak masyarakat memboikot atau memulaukan PRU yang jelas adalah satu kesalahan.

BERI PENGAJARAN

“Tindakan ini adalah akibat rasa kecewa terhadap halatuju kepimpinan PH sendiri. Selama ini PH berjuang atas dasar politik tanpa kepentingan kaum tetapi segalanya berubah selepas kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang secara terang adalah sebuah parti yang berbentuk perkauman,” ulas beliau.

Mengakui pencalonan Tun Mahathir sebagai perdana penteri sebagai antara punca yang menyebabkan kempen ini akhirnya dilancarkan, Muhamad Harris berkata pendirian PH yang tidak konsisten dalam beberapa isu sudah lama membuat penyokong PH mula mempersoal tindakan tampuk kepimpinan gabungan itu.

“Mereka membuat keputusan ‘top to bottom’ sesama mereka sahaja untuk menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri tanpa memikirkan pendapat penyokong ‘hardcore’ yang rata-ratanya datang daripada penyokong gerakan reformasi sejak 1998,” kritik beliau.

Muhamad Harris turut menyelar taktik politik populis yang diamalkan PH serta tindakan kerajaan PH seperti di Selangor yang melanggar manifesto pilihan raya sendiri.

“Orang besar PH tidak hormati suara kecil dan kini suara kecil ini bangkit dan menjadi besar hingga menjadi satu kuasa yang mereka takuti,” tegas beliau.

LANGKAH KE BELAKANG

Sementara itu penyokong kempen #undirosak, Amir Hamzah Akal Ali, 29, berkata langkah menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri adalah langkah ke belakang gabungan itu.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Benz Ali turut mempertikai penguasaan golongan berumur yang menidakkan peluang pemimpin muda memegang jawatan penting sebagai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

“Tun sudah 92 tahun. Selepas beliau turun, dirancang untuk dinaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula. Anwar juga sudah berumur. Ini sudah jadi satu bentuk politik dinasti.

“Mengapa anak muda tidak diberi peluang. Hatta kalau diletakkan Nurul Izzah sebagai calon Perdana Menteri sekali pun itu akan jadi satu langkah yang sangat luarbiasa. Berani meletakkan calon muda, wanita pula itu sebagai Perdana Menteri,” ulas Benz Ali.

Beliau juga tidak risau jika BN terus memerintah kerana selama ini negara telah diperintah BN walaupupun ada isu dan kekurangannya. Apalah sangat beri lagi lima tahun kepada gabungan itu supaya dalam masa sama PH dapat melakukan muhasabah terhadap tindakan-tindakan mereka sepanjang kempen PRU 14.

“Jika mereka belajar daripada kesilapan ini, mungkin ada peluang untuk mereka pada PRU 15 nanti,” ujarnya.

HANYA SUARA KECIL

Anak muda ini juga berpendapat kempen #undirosak ini adalah satu cara menyedarkan rakyat bahawa mereka mempunyai pilihan selain daripada yang ditawarkan parti-parti politik baik BN mahupun PH.

Dalam masa yang sama kempen sebegini turut memberi isyarat kepada semua parti politik bahawa mereka perlu membuktikan komitmen dan betul-betul ‘buat kerja’ untuk memenangi hati para pengundi.

Ulas beliau, masyarakat hari ini semakin matang dalam membuat pilihan politik. Malangnya, hari ini PH mengambil tindakan berbentuk oportunistik demi mendapatkan kuasa yang mengakibatkan berlakunya tindak balas oleh penyokong mereka sendiri.

“Cuma perlu diingat bahawa kami ini bukan ramai mana. Hanya suara kecil tetapi kami pun tak sangka kempen sebegini pun boleh buat pemimpin-pemimpin PH resah sampai Tun Mahathir sendiri pun terpaksa komen,” kata Benz Ali sambil tertawa kecil.

JANGAN BAZIRKAN UNDI

Ketika dihubungi Bernama, Pengerusi Suruhanjaya Pilhanraya Malaysia (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya menyedari adanya usaha oleh pihak-pihak tertentu menjalankan kempen #undirosak melalui laporan media dan hantaran media sosial.

Bagi SPR, tindakan itu adalah satu yang tidak sepatutnya dilakukan dan hanya akan merugikan diri sendiri dan juga orang lain.

Tambah beliau, masyarakat harus sedar bahawa peluang untuk mengundi adalah satu kesempatan yang sangat berharga dan merupakan hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap pengundi kerana hanya dengan satu undi boleh menentukan nasib mereka, masa depan negara dan juga nasib generasi akan datang.

“Walaupun ia (kempen #undirosak) bukan satu kesalahan, namun ia tidak membawa kebaikan. Mengundilah Dengan Bijak, Jangan Persiakan Undi Anda semata-mata untuk menunjukkan sikap protes anda akibat kecewa atau bosan dengan percaturan parti politik yang tidak berkesudahan atau apa sekalipun.

“Jika anda tidak mengundi atau merosakkan undi, bermakna anda membiarkan orang lain yang menentukan nasib anda, keluarga anda dan juga negara,” kata Mohd Hashim.

Tambah beliau, SPR mengambil perhatian serius perkara ini dan SPR juga sedang merancang untuk menggerakkan usaha bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat dengan menjalankan kempen ‘Jom Kita Mengundi’. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com