Tular Tarikh Pilihan Raya Cetus Kebimbangan - SPR


PETALING JAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa orang ramai supaya berhenti melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan tarikh pembubaran Parlimen dan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menerusi media sosial.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, jika tindakan itu berterusan ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang mempunyai perancangan tertentu.

"Urusan pilihan raya adalah satu urusan yang sensitif dan perbuatan menjadikan maklumat berkenaan tarikh hal-hal berkaitan pilihan raya seperti penamaan calon dan pembubaran Parlimen itu tular di media sosial tidak seharusnya berlaku.

"Perkara itu dikuatiri akan menyusahkan orang ramai yang mempunyai perancangan untuk mengerjakan umrah, mengadakan majlis perkahwinan atau melancong.

"Yang pasti mesej berkenaan tarikh pilihan raya yang tular itu bukan dari SPR dan bagi kami ia hanya akan diketahui sebaik parlimen dibubarkan, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas itu seperti yang dinyatakan mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau ada orang yang bercakap lebih daripada itu, bererti mereka hanya inginkan populariti," katanya ketika ditemui selepas Program Pendidikan Pengundi Dalam Urusan Pilihan Raya Malaysia dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR) yang diadakan di Menara Star di sini, Selasa.

Sebelum ini tular dakwaan mengenai tarikh pembubaran parlimen dan hari mengundi PRU-14 akan diadakan pada 13 Oktober 2017 namun kenyataan itu dinafikan SPR.

Bagaimanapun, 28 Disember lalu sekali lagi berita mengenai tarikh penamaan calon bakal diadakan pada 11 Februari dan hari pengundian pada 25 Mac 2018.

Terbaharu, tular tarikh pembubaran Parlimen pada 22 Februari dan hari mengundi juga antara 24 atau 25 Mac 2018.

Selain itu, Mohd Hashim berkata, kriteria dalam memilih tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya juga perlu diambil kira dengan mempertimbangkan keadaan semasa dengan matlamat utama ada untuk memastikan pengundi dapat menunaikan tanggungjawab mereka.

"Seperti sedia maklum, beberapa daerah di negara ini dilanda banjir.

"Oleh itu, beberapa perkara perlu dipertimbangkan kerana kita tidak mahu timbul masalah semasa proses pilihan raya dijalankan," katanya yang mencari jalan terbaik untuk memastikan peratusan mengundi meningkat kepada lebih 80 peratus.

Mengenai jumlah daftar pengundi terkini, katanya, setakat Selasa, bilangan rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar adalah 3.7 juta. 

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com