Tular Pengadil Bukan Islam Henti Perlawanan Hormati Azan


IBARAT di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung! Aksi pengadil terbaik dari Britain, Mark Clattenburg menghentikan perlawanan bagi menghormati azan, tular di media sosial seluruh dunia.

Beliau ketika itu mengendalikan perlawanan bola sepak liga Arab Saudi antara tuan rumah Al Feiha menentang Al-Fateh di Stadium Bandar Raya Sukan Raja Salman Abdulaziz di Al Majma’ah dekat Riyadh pada petang Rabu lalu.

Namun Clattenburg tiba-tiba menghentikan perlawanan ketika azan fardu Maghrib berkumandang dari sebuah masjid berhampiran stadium dan aksi spontan itu turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen tempatan.

Tindakan bekas pengadil ternama Liga Juara-Juara Eropah yang berusia 42 tahun serta berasal dari Durham, England itu menghentikan perlawanan sebagai menghormati azan mendapat pujian netizen dan peminat sukan.

Ia dihentikan pada minit kelima waktu tambahan dengan jaringan ketika itu terikat 1-1 dan apabila permainan itu disambung semula, pemain Al-Feiha menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-118 untuk layak ke suku akhir.

Untuk rekod, perlawanan tersebut bermula pukul 4.35 petang dan apabila memasuki minit ke-94, azan dilaungkan menunjukkan permulaan waktu Maghrib di wilayah Umm Al Qura pada hari berkenaan kira-kira 5.36 petang.

Clattenburg dilaporkan pantas melihat isyarat pengadil keempat, Muhammed Alqarn mengenai laungan azan dan segera meniup wisel sebagai tanda perlawanan dihentikan sementara sehingga dipuji peminat bola sepak tempatan.

Beliau dikatakan tidak pernah kekok dengan prosedur tersebut cuma mungkin agak keliru apabila menyangka azan sudah berakhir tetapi membiarkan pemain untuk menunggu masa yang sesuai bagi menyambung perlawanan itu.

Clattenburg yang sudah lama menjadi pengadil profesional sejak 1993, meninggalkan Liga Perdana Inggeris apabila dilantik sebagai Ketua Pengadil Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi pada 2017 lalu menggantikan Howard Webb.

Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA) ini pernah ditawarkan gaji lumayan £1 juta (RM5.5 juta) setahun untuk bertugas di China, namun memilih Arab Saudi kerana tertarik dengan suasana negara Islam itu.

Beliau cuma dibayar £100,000 (RM550,000) setahun dengan pakej £1,100 (RM6,023) bonus setiap perlawanan meskipun menyedari budaya pelik penyokong Arab Saudi suka ‘menyerang’ pengadil jika pasukan mereka itu kalah.

Ini menyebabkan Clattenburg sering menganjurkan seminar dan kempen kesedaran terhadap pengadil untuk lebih bijak ketika mengadili perlawanan selain mendidik sikap penyokong agar berhemah. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com